Pegawai wanita AKPS berani bongkar salah laku pegawai atasan bawa masuk warga asing secara haram di KLIA
Keberanian seorang pegawai wanita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang membongkar kegiatan pegawai atasannya kerana disyaki membantu kemasukan seorang wanita warga asing secara haram, mendapat perhatian Ketua Pengarah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Mohd Shuhaily mengesahkan bahawa pegawai atasan tersebut telah pun ditahan sejurus menerima aduan mengenai kegiatan tersebut.
Beliau berkata, penahanan itu berjaya dilakukan hasil keberanian seorang pegawai wanita AKPS yang mengesan perlakuan mencurigakan membabitkan pegawai atasannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Penahanan itu dilakukan oleh anggota AKPS sendiri selepas seorang pegawai wanita menyedari pegawai atasannya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.
Beliau memuji integriti pegawai berkenaan dan menyifatkan tindakannya sebagai contoh keberanian yang diperlukan bagi membawa perubahan bermakna dalam penguatkuasaan sempadan.
“Saya amat menghormatinya dan bercadang bertemu beliau secara peribadi dalam masa terdekat untuk menyampaikan penghargaan.
“Hanya seorang individu diperlukan untuk mengubah apa yang berlaku di lapangan,” katanya kepada media ketika ditemui di Zoo Negara.
Shuhaily berkata, kesediaan pegawai wanita itu mengambil tindakan terhadap pegawai atasannya sendiri membuktikan tahap integriti yang diharapkan daripada anggota AKPS.
Katanya, keberanian sedemikian penting bagi mentransformasikan agensi itu serta menghapuskan salah laku di pintu masuk negara.
“Masih banyak perkara yang perlu kita lakukan dan keberanian seperti ini mesti diiktiraf serta dihormati kerana ia menandakan permulaan kepada perubahan yang ingin kita bawa.
“Memiliki pegawai yang benar-benar menghayati nilai ini adalah satu penghormatan bagi saya,” katanya.
Shuhaily turut berikrar memberikan sokongan peribadi kepada pegawai wanita berkenaan yang disifatkannya menunjukkan keberanian luar biasa apabila tampil membuat laporan walaupun berdepan situasi sukar.
“Beliau berani menentang arus dan saya akan sentiasa berada di belakangnya. Itu janji saya kepadanya,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai anggota AKPS menunjukkan keberanian sama dan tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku dalam agensi berkenaan.
Mengenai pegawai yang ditahan, Shuhaily berkata, suspek kini berada dalam tahanan polis dan dipercayai ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Beliau berharap siasatan polis dapat mendedahkan sama ada terdapat rangkaian lebih besar yang terbabit dalam kegiatan membantu kemasukan warga asing secara haram.