ANALISIS │SG4 impikan ekonomi RM723 bilion, gaji rakyat rendah, masalah air belum selesai

TEAM EDITORIAL

Di sebalik sasaran mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan sebanyak RM723.75 bilion menjelang 2050, empat negeri di bawah kerjasama SG4 masih berdepan cabaran ekonomi dan penyediaan kemudahan asas kepada rakyat.

Sasaran yang diketengahkan menerusi Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 itu melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, berdasarkan senario pertumbuhan ekonomi tahunan sehingga tujuh peratus.

Bagaimanapun, statistik terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan dua daripada empat negeri berkenaan mencatatkan median upah bulanan pekerja sektor formal paling rendah di Malaysia.

Sehingga Jun 2026, Kelantan merekodkan median upah bulanan sebanyak RM1,827, diikuti Perlis sebanyak RM1,864, berbanding median upah nasional sebanyak RM3,000.

Sebagai perbandingan, Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan sebanyak RM4,245, Selangor RM3,245 manakala Pulau Pinang RM3,000.

Selain jurang pendapatan pekerja, masalah bekalan air yang berlarutan di Kedah dan Kelantan turut menjadi cabaran dalam usaha menarik pelaburan serta memperluas kegiatan perindustrian.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada 27 Oktober lalu menyuarakan kebimbangan mengenai kedudukan margin rizab air Kedah yang berada pada paras sifar peratus.

Beliau menegaskan sasaran pertumbuhan ekonomi SG4 perlu disokong dengan keupayaan pelaksanaan projek pembangunan serta penyelesaian masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air.

Di Kelantan pula, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin pada 1 November lalu mendedahkan kadar air tidak berhasil (NRW) masih berada pada paras 53 peratus.

Beliau turut memaklumkan lebih 4,000 kilometer paip lama perlu diganti, sedangkan kerja penggantian paip ketika ini hanya melibatkan kira-kira 150 kilometer setahun.

Kerajaan Kelantan bagaimanapun menjangkakan negeri itu mempunyai lebihan kapasiti pengeluaran air selepas semua projek loji rawatan air yang dirancang siap menjelang 2031.

Dalam pada itu, Akmal ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober mendedahkan peruntukan pembangunan Persekutuan kepada empat negeri SG4 pada 2025 berjumlah RM7.7 bilion, iaitu 6.8 kali ganda berbanding peruntukan pembangunan gabungan kerajaan negeri berkenaan.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan Persekutuan turut meluluskan 1,487 projek pembangunan melibatkan kos keseluruhan RM71.52 bilion bagi empat negeri terbabit.

Sementara itu, penganalisis dasar awam, Tricia Yeoh menerusi artikel bertajuk SG4: A Bid for Economic State Power in Malaysia yang diterbitkan pada 18 November turut mengenal pasti kemampuan menarik bakat dan tenaga kerja mahir sebagai antara cabaran utama pembangunan perindustrian SG4.

Beliau turut membangkitkan cabaran hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan empat kerajaan negeri berkenaan dalam merealisasikan agenda pembangunan ekonomi SG4

BACA JUGA Saifuddin temui Abang Jo, hargai komitmen Sarawak terhadap kesinambungan Kerajaan Persekutuan