Anwar tidak pertahan kenyataan Tony Pua, tegas tiada amalan dua darjat dalam siasatan isu 3R

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mempertahankan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, selain mahu siasatan terhadap individu yang didakwa menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) diteruskan tanpa mengira latar belakang politik.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan mengamalkan pendekatan dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang apabila kes berkenaan membabitkan pemimpin atau penyokong kerajaan.

“Kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, saya tidak pertahankan. Ya, soal siasatan, itu diteruskan, ada yang perlahan, ada yang lambat. Kita boleh rujuk KDN dan pihak pendakwaan.

“Kalau mahu kata antara dua darjat, saya tidak setuju. Siapa yang umpamanya menghalang tindakan?” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai tindakan terhadap seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan ketika mengunjungi Terengganu, baru-baru ini.

Tanpa menamakan Ahli Parlimen berkenaan, Anwar secara terbuka menyatakan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan individu terbabit yang dilaporkan mempersoalkan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.

“Kenyataan Ahli Parlimen terbabit, saya tidak bersetuju. Itu jelas.

“Walaupun kini sudah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan,” katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh isu sajak Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang ditafsirkan sebagai menghina institusi diraja, dengan menegaskan siasatan terhadap perkara itu juga perlu diteruskan.

Menurut Anwar, tindakan menyiasat seseorang individu bertujuan memberikan peluang kepada mereka untuk menjelaskan kenyataan yang dibuat dan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan.

“Takkan pula ada orang yang ‘dewa’ dan tidak boleh disiasat. Ini dalam sistem kita, tiada sesiapa terkecuali untuk ditanya dan disiasat kalau ada laporan polis,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bahawa penguatkuasaan berkaitan isu 3R bertujuan menjaga keharmonian antara kaum dan agama, selain memastikan prinsip Raja Berperlembagaan terus dihormati.

Beliau berkata, ketetapan tersebut juga selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja yang sering membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuaratnya.

Anwar turut menafikan penguatkuasaan berkaitan isu 3R bermotifkan politik, sebaliknya meminta sebarang kes yang didakwa membabitkan penyalahgunaan kuasa dirujuk kepada pihak berkaitan.

“Perkara ini memerlukan kerjasama semua. Jika ada kes tertentu yang ditafsirkan salah guna kuasa atau (bermotifkan) politik, ini boleh dirujuk, tetapi jangan tolak 3R,” kata Perdana Menteri lagi.