Disebalik dakwaan tak adil, pembangkang dapat RM451 juta! 7,059 projek diluluskan di 66 kawasan Parlimen

Kerajaan menegaskan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada kawasan yang diwakili Ahli Parlimen kerajaan apabila sebanyak RM451.098 juta diluluskan bagi melaksanakan 7,059 projek di 66 kawasan Parlimen pembangkang sejak Januari 2023 hingga 31 Oktober lalu.

Peruntukan itu disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

“Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan tidak meminggirkan keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen pembangkang,” katanya ketika menjawab pertanyaan dalam sesi Kamar Khas Dewan Rakyat.

Menurut Mustapha, pembangunan di kawasan pembangkang turut dilaksanakan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan, berdasarkan keperluan setempat serta keutamaan pembangunan yang ditetapkan.

Beliau menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung jumlah keseluruhan peruntukan kepada Perdana Menteri serta kriteria yang digunakan dalam meluluskan perbelanjaan berkenaan.

Mustapha berkata, bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober 2026, keseluruhan peruntukan yang diluluskan kepada Perdana Menteri melalui penyelarasan ICU JPM mencecah RM2.561 bilion, melibatkan 33,653 kelulusan sumbangan dan projek fizikal.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM567.983 juta diluluskan untuk sumbangan, manakala RM1.993 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek fizikal.

Menurutnya, RM2.363 bilion daripada keseluruhan peruntukan itu telah dibelanjakan, sementara baki RM197.553 juta melibatkan sumbangan dan projek yang masih dalam pelaksanaan bagi tahun ini.

“Semua perbelanjaan, peruntukan dan pelaksanaan projek mengikut tatakelola dan peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa.

“ICU JPM turut memantau setiap perbelanjaan peruntukan dan pelaksanaan projek agar menepati keperluan rakyat,” katanya.

Mustapha berkata setiap cadangan projek diteliti dan dipertimbangkan berdasarkan keperluan rakyat, dengan kerajaan terus memperkukuh mekanisme penyelarasan, pemantauan serta pelaksanaan bagi memastikan wang yang diperuntukkan memberikan impak nyata.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan peruntukan bagi kawasan Parlimen Ampang, Petaling Jaya dan Subang tidak disekat, sebaliknya penyalurannya tertakluk kepada mekanisme serta keperluan semasa kerajaan.

Penjelasan itu sekali lagi membawa mesej bahawa peruntukan pembangunan tidak seharusnya menjadi alat membezakan kawasan berdasarkan parti politik yang memenangi kerusi, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan penduduk dan kepentingan pembangunan setempat.

BACA JUGA Transformasi kesihatan negara: Dr Dzulkefly usahakan rekod digital nasional, 9,000 jawatan baharu