Sastera Malaysia kehilangan legenda, A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun

Dunia sastera tanah air kehilangan seorang tokoh besar apabila Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, meninggal dunia petang ini pada usia 91 tahun.

Sebelum ini Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berita pemergian tokoh yang cukup sinonim dengan dunia puisi, novel dan perjuangan bahasa itu disahkan anak sulungnya, Helmy Samad, menerusi hantaran di media sosial pada petang ini.

“6.10 (petang).

“Innalillahi wainnailaihi rojiun.

“Bapa baru meninggal,” katanya dalam hantaran ringkas yang mengundang ucapan takziah daripada pelbagai pihak.

A Samad Said, atau nama penuhnya Abdul Samad Mohamed Said, dilahirkan di Melaka dan merupakan antara nama paling berpengaruh dalam perkembangan sastera Melayu moden, dengan karya-karyanya merentasi novel, puisi, cerpen dan penulisan kreatif yang membentuk pemikiran beberapa generasi pembaca.

Beliau menerima pengiktirafan Sasterawan Negara pada 1985, menjadikannya Sasterawan Negara keempat, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau kepada kesusasteraan dan bahasa Melayu.

Sepanjang perjalanan kreatifnya, karya A Samad Said bukan sekadar menyentuh persoalan kehidupan dan kemanusiaan, tetapi turut mengangkat isu masyarakat, sejarah, identiti, keadilan serta nasib rakyat, menjadikan penulisannya terus relevan dalam perbincangan budaya dan sosial.

Pemergian beliau menandakan berakhirnya satu era bagi dunia sastera Malaysia, namun karya-karya yang ditinggalkan akan terus menjadi sebahagian daripada khazanah intelektual dan budaya negara.

Berita kematian tokoh itu turut mengundang perhatian masyarakat yang mengenali beliau bukan sekadar sebagai penulis, tetapi sebagai suara yang konsisten dalam memperjuangkan bahasa, budaya dan kebebasan pemikiran.

A Samad Said meninggalkan legasi yang sukar dipisahkan daripada sejarah sastera Melayu moden.

Nama dan karya beliau akan terus dikenang oleh pembaca, penggiat seni, dunia akademik serta generasi yang menjadikan sastera sebagai ruang memahami manusia dan masyarakat.

Negara kini kehilangan seorang sasterawan besar, tetapi karya-karyanya akan terus hidup merentas zaman, halaman buku dan ingatan bangsa.

BACA JUGA ULASAN │Sekolah daif, guru terbeban, murid dibantu… reformasi pendidikan MADANI bukan sekadar angka RM69 bilion?