Tampung lebih 4 juta pelarian, Turkiye belum bersedia terima 10,000 Rohingya

Usaha Malaysia mendapatkan Turkiye menerima 10,000 pelarian Rohingya dari negara ini belum membuahkan hasil apabila Ankara secara rasmi menyatakan belum bersedia mempertimbangkan permintaan tersebut.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, dalam Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan meminta penjelasan sama ada benar kerajaan Turkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, susulan usaha diplomatik yang sebelum ini disuarakan oleh kepimpinan kerajaan.

Menjawab pertanyaan itu, Anwar berkata beliau sendiri telah menerima pengesahan daripada kerajaan Turkiye dua hari lalu bahawa negara tersebut belum bersedia menimbangkan permintaan berkenaan.

“Pasir Gudang memang suka tanya soalan susah. Saya dapat pengesahan daripada, saya sendiri mendapat pengesahan daripada Kerajaan Turkiye dua hari yang lalu, bahawa mereka belum bersedia mahu menimbangkan.

“Itu bagi pihak Turkiye. Tapi bagi pihak Malaysia, seperti yang disuarakan oleh TPM 1, memohon supaya dipertimbangkan,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia telah mengemukakan permohonan supaya Turkiye mempertimbangkan untuk menerima sebahagian pelarian Rohingya bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung negara dalam menguruskan jumlah pelarian yang besar.

Bagaimanapun, permintaan itu belum mendapat persetujuan rasmi Ankara.

Anwar menjelaskan penolakan untuk mempertimbangkan permintaan tersebut berkait dengan beban pelarian yang sedang ditanggung Turkiye, yang kini menempatkan lebih empat juta pelarian dari negara-negara Teluk, negara Arab serta beberapa negara jiran.

“Malaysia memohon dipertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita. Tetapi pihak Turkiye, secara rasminya, belum bersedia menimbangkan atas alasan Turkiye sekarang menanggung lebih daripada 4 juta pelarian daripada negara-negara Teluk, negara-negara Arab dan beberapa negara jiran,” katanya.

Beliau turut menjelaskan usaha mencari negara ketiga bagi membantu menempatkan pelarian bukan perkara baharu, malah merupakan sebahagian daripada pendekatan Malaysia untuk mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan.

Menurutnya, usaha itu turut melibatkan kemungkinan mendapatkan bantuan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri sebelum ini turut menyuarakan kemungkinan Turkiye dipertimbangkan sebagai salah satu negara yang boleh membantu, memandangkan rekod negara itu yang pernah menerima dan membantu ramai pelarian dari negara Islam.

Namun, katanya, situasi semasa Turkiye menunjukkan negara itu sedang berdepan tekanan besar akibat jumlah pelarian yang telah ditempatkan di wilayahnya.

Malaysia kini menempatkan hampir 200,000 pelarian Myanmar, sebahagian daripada mereka merupakan mangsa kekejaman rejim Myanmar.

Dalam jawapan berasingan kepada Hassan berhubung keputusan mengundang Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing, Anwar turut mempertahankan pendekatan diplomasi yang diambil kerajaan dengan alasan rundingan itu membantu menyelesaikan masalah pemulangan rakyat Myanmar.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 10,476 rakyat Myanmar telah dibawa pulang dengan kos ditanggung pihak Myanmar, termasuk 1,476 orang yang dihantar menggunakan kapal perang pada 29 September lalu.

Anwar turut memaklumkan tiga kapal angkatan laut Myanmar telah diluluskan untuk membawa pulang 1,500 rakyat Myanmar pada 6 dan 7 Disember, manakala 5,303 lagi dijadual dihantar pulang melalui penerbangan pada bulan Disember.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan rundingan itu tidak bermakna Malaysia mengetepikan prinsip hak asasi manusia, sebaliknya kerajaan kekal dengan pendirian menyokong Five-Point Consensus ASEAN serta menentang penganiayaan terhadap Rohingya dan kumpulan etnik lain di Myanmar.

BACA JUGA 10 fakta hubungan Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Aziz