Bukan hanya beri RM200, Anwar mahu ibu bapa turut pikul tanggungjawab mendidik anak

Pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 kepada semua murid tahun depan bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan keluarga, sebaliknya turut menjadi medium memperkukuh peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bantuan berkenaan diserahkan di sekolah dengan kehadiran ibu bapa masing-masing bagi membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan guru.

Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi memastikan ibu bapa mengenali persekitaran sekolah serta guru yang bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka.

“Kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah kerana kita nak ibu bapa tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat.

“Dia harus tahu yang membantu mendidik anak-anak mereka itu ialah guru dan kalau tak datang ke sekolah, (Menteri Pendidikan, Datuk Seri) Fadhlina (Sidek), jangan bagi wang itu,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalannya, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Anwar turut mencadangkan pihak sekolah menganjurkan program khas sempena penyerahan bantuan berkenaan bagi menyediakan ruang pertemuan antara guru, murid dan ibu bapa.

Menurutnya, kesempatan itu boleh dimanfaatkan oleh guru untuk berkongsi perkembangan pembelajaran, disiplin serta tingkah laku murid kepada ibu bapa masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Sebaliknya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk disiplin, akhlak dan sahsiah anak-anak.

“Jangan serahkan semua kepada sekolah. Ibu bapa juga harus ditegur demi tanggungjawab,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa pendidikan bukan sekadar meningkatkan kepintaran dan penguasaan ilmu, sebaliknya turut membentuk manusia yang mempunyai akhlak, disiplin serta keperibadian mulia.

BACA JUGA ‘Anak-beranak campur ni apa hal?’, netizen ungkit kembali kata-kata Zahid selepas anaknya bersuara