Faris persoal cadangan Zahid kembalikan GST, bangkit isu tuntutan tertunggak RM19.4 bilion zaman BN

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faris Arriffin mempersoalkan cadangan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan membangkitkan isu pengurusan bayaran balik cukai itu ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Faris berkata, sebelum GST dilaksanakan semula, penjelasan perlu diberikan mengenai kelemahan pengurusan bayaran balik terdahulu dan langkah bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Beliau merujuk dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2019 yang mendapati tiada wang kutipan GST hilang, tetapi tatacara pengurusan dana bayaran balik tidak mematuhi peruntukan Akta GST 2014.

“Daripada RM19.4 bilion tuntutan yang diteliti, RM1.5 bilion telah diluluskan tetapi belum dibayar setakat 31 Mei 2018

“Maka sebelum mengembalikan GST, wajar dijelaskan bagaimana kelemahan tadbir urus dan pengurusan bayaran balik tersebut tidak akan berulang seperti zaman Umno-BN,” katanya dalam kenyataan.

Faris turut menggesa Zahid mengemukakan pengiraan terperinci mengenai cadangan mengembalikan GST, termasuk kadar cukai yang dicadangkan, tambahan hasil bersih selepas mengambil kira pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) serta kesannya terhadap golongan B40 dan M40.

Beliau mempersoalkan mekanisme perlindungan kepada pengguna dan peniaga serta tujuan hasil tambahan itu dikutip.

“Berapakah kadar GST? Berapakah tambahan hasil bersih selepas SST dimansuhkan? Berapakah kesan terhadap B40 dan M40? Apakah mekanisme perlindungan kepada pengguna dan peniaga?

“Lebih penting, untuk apa hasil tambahan itu dikutip dan kepada siapa manfaatnya akan disalurkan?” katanya.

Dalam kenyataan sama, Faris berhujah bahawa peningkatan hasil SST menunjukkan GST bukan satu-satunya kaedah untuk meningkatkan pendapatan negara.

Beliau membandingkan kutipan GST sebanyak RM44.3 bilion pada 2017 dengan anggaran kutipan SST sebanyak RM67 bilion pada 2026 dan unjuran RM73.3 bilion pada 2027.

Menurutnya, peningkatan hasil SST itu menunjukkan sistem percukaian sedia ada juga mampu menyumbang kepada hasil negara tanpa perlu GST diperkenalkan semula.

Faris turut membangkitkan implikasi kos dan persediaan sekiranya GST dikembalikan, termasuk keperluan perniagaan menyesuaikan sistem perakaunan, pelaporan dan aliran tunai.

Beliau berkata, hampir 700,000 perniagaan berdaftar di bawah GST pada 2018, berbanding sekitar 130,000 di bawah SST pada 2026, manakala Kementerian Kewangan dianggarkan memerlukan tempoh sehingga dua tahun bagi persediaan pelaksanaan.

Mengulas cadangan Zahid itu, Faris berkata GST mempunyai kelebihan dari segi kecekapan kutipan dan pengurangan cukai bertindih, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.

“Cukai yang sama kadarnya tidak semestinya sama beratnya kepada rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan reformasi fiskal perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan negara, peningkatan produktiviti ekonomi dan taraf hidup rakyat, bukannya semata-mata meningkatkan kutipan cukai.