Jasa dan sumbangan A. Samad Said wajar diberikan penghormatan kenegaraan

Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH menyifatkan Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr Abdul Samad Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said wajar diberikan penghormatan kenegaraan atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada negara.

Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pemergian Allahyarham ketika berusia 91 tahun merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, malah kepada seluruh bangsa dan negara.

Menurutnya, Allahyarham bukan sekadar penulis, penyair dan novelis, tetapi suara nurani masyarakat yang sepanjang hayatnya menggunakan kekuatan bahasa dan sastera untuk merakam realiti kehidupan, membela golongan terpinggir serta menyuarakan keresahan dan aspirasi rakyat.

“Sehubungan itu, Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbangkan supaya Allahyarham diberikan penghormatan kenegaraan yang sewajarnya, termasuk istiadat pengebumian rasmi negara atau bentuk penghormatan setara yang bersesuaian dengan kedudukan dan sumbangan besar beliau kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Wan Anwar berkata, sebagai Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan pada 1985, Allahyarham meninggalkan legasi kesusasteraan yang amat besar dan tidak ternilai.

Beliau berkata, karya agung Allahyarham seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Hujan Pagi dan Daerah Zenibukan sekadar karya kreatif, tetapi khazanah pemikiran, sejarah sosial dan dokumentasi kehidupan masyarakat yang akan terus menjadi rujukan generasi akan datang.

Menurutnya, novel Salina khususnya merupakan antara karya penting dalam perkembangan novel moden Melayu yang mengangkat kehidupan masyarakat terpinggir menerusi pendekatan kemanusiaan yang mendalam.

Wan Anwar berkata, sumbangan Allahyarham juga tidak terbatas kepada dunia penulisan, sebaliknya merangkumi perjuangan bahasa, kebudayaan, demokrasi dan keadilan sosial.

“Keberanian beliau menyuarakan pandangan terhadap isu-isu kepentingan rakyat serta mempertahankan kedudukan bahasa Melayu memperlihatkan bahawa seorang sasterawan juga mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk kesedaran dan pemikiran masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan terhadap Allahyarham tidak seharusnya terhenti pada penganugerahan gelaran dan anugerah semasa hayatnya, sebaliknya pemergian beliau menjadi kesempatan untuk negara memperlihatkan penghargaan terhadap sumbangan tokoh ilmu, bahasa, seni dan budaya.

Menurutnya, penghormatan sewajarnya turut diberikan kepada tokoh persuratan dan kebudayaan yang membentuk jiwa, pemikiran, identiti serta peradaban bangsa, bukan hanya kepada tokoh politik, pentadbiran dan keselamatan negara.

“Sesungguhnya, sebuah negara yang besar bukan hanya diukur melalui kekuatan ekonomi dan pembangunan fizikalnya, tetapi juga melalui penghargaan terhadap ilmu, bahasa, seni, budaya dan tokoh-tokoh yang membina peradaban bangsanya,” katanya.