AMANAH takut ‘ditelan’ Bersatu? Faiz jawab: ‘Pasaran’ sama, perjuangan berbeza!
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menolak dakwaan bahawa parti itu berisiko ‘ditelan’ Bersatu sekiranya cadangan pembentukan khemah besar politik direalisasikan, sebaliknya menegaskan kedua-dua parti mempunyai identiti dan perjuangan yang berbeza.
Menurut Faiz, meskipun AMANAH dan Bersatu sama-sama menyasarkan sokongan pengundi Melayu, pendekatan, ideologi serta segmen sokongan yang ingin dibawa oleh kedua-dua parti tidak serupa.
“Amanah membawa perjuangan yang berbeza dengan Bersatu. Walaupun ‘pasaran’ sama tapi segmen berbeza iaitu Amanah cenderung kepada Islam manakala Bersatu cenderung kepada kaum,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika wacana mengenai pembentukan khemah besar politik menjelang PRU16 semakin hangat, termasuk cadangan mengembangkan kerjasama melibatkan parti-parti di luar Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi persaingan politik akan datang.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today(FMT) Faiz turut mengingatkan bahawa AMANAH bukanlah parti asing daripada Bersatu kerana kedua-dua parti pernah bekerjasama dalam PH, termasuk ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Amanah ada pengalaman bersama dengan Bersatu, jadi pandangan AMANAH boleh ‘ditelan’ kurang meyakinkan,” katanya, menolak tanggapan bahawa kerjasama antara kedua-dua parti secara automatik akan mengancam kelangsungannya.
Mutakhir ini, Faiz antara pemimpin AMANAH yang lantang menggesa pembentukan khemah besar melibatkan parti-parti di luar PH disegerakan, dengan matlamat mencari strategi lebih berkesan menghadapi PRU16.
Namun, cadangan itu turut mengundang kebimbangan apabila penganalisis politik melihat kemungkinan kerjasama PH dan Bersatu boleh memberi kesan kepada kedudukan AMANAH, terutama ketika parti itu berdepan cabaran prestasi pilihan raya.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Tawfik Yaakub berpandangan persaingan dalam pengagihan kerusi, pengaruh kepimpinan dan peranan dalam gabungan berpotensi menyebabkan AMANAH semakin terhimpit sekiranya tiada persefahaman politik yang jelas.
Kebimbangan mengenai masa depan AMANAHturut disuarakan oleh beberapa pemimpin parti itu, termasuk Ahli Jawatankuasa Pusat Raja Kamarul Bahrin Shah yang mempersoalkan kelangsungan parti ketika ia masih bergelut membina identiti politik tersendiri, selain isu hala tuju, politik berpuak dan pembaharuan kepimpinan.
Bagaimanapun, Faiz melihat cabaran utama AMANAH bukan semata-mata soal kepimpinan, sebaliknya sentimen perkauman melampau serta kesan penggabungan undi Pas dan Umno yang menurutnya memerlukan parti itu mencari strategi politik baharu, termasuk kerjasama dengan parti lain.
Beliau turut mempertahankan kepimpinan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan menegaskan rekod parti itu ketika berada dalam kerajaan menunjukkan kemampuan kepimpinan berkenaan.
“Mohamad Sabu telah menunjukkan kemampuan sebagai presiden dua kali pilihan raya, dua kali AMANAH jadi kerajaan,” katanya.
BACA JUGA Sibuk macam mana sekalipun, jangan sampai anak sendiri hilang tempat mengadu – Anwar