Anwar pilih berdepan rakyat dalam ‘Dialog Negara’, jelaskan dasar, terbuka terima teguran
Ketika keputusan kerajaan sering menjadi bahan perdebatan, kritikan dan persoalan di media sosial, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan kepentingan dialog terbuka sebagai ruang untuk menjelaskan pendirian kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Menerusi hantaran selepas menyertai Dialog Negara Khas “Di Sebalik Keputusan…” yang disiarkan menerusi semua saluran media tempatan malam ini, Anwar berkata beliau berkesempatan menjawab pelbagai persoalan daripada moderator dan barisan panelis yang mewakili pelbagai segmen masyarakat.
Menurutnya, dialog berkenaan bukan sekadar platform menjelaskan dasar, tetapi turut memberi ruang untuk kerajaan memahami keresahan, harapan dan aspirasi rakyat.
Wadah ini memberi ruang untuk saya memperjelas dasar, pertimbangan dan keputusan Kerajaan MADANI dalam mengemudi negara, di samping menyelami keresahan, harapan dan aspirasi rakyat,” katanya.
Anwar berharap wacana seumpama itu dapat diperbanyakkan, terutama dalam usaha memberikan pencerahan terhadap keputusan kerajaan yang mungkin menimbulkan persoalan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata dialog terbuka juga perlu menjadi ruang untuk mencetuskan percambahan idea, bukan sekadar menyampaikan penjelasan kerajaan kepada rakyat.
Dalam konteks demokrasi, Anwar melihat budaya dialog yang matang sebagai elemen penting bagi memastikan hubungan antara pemimpin dan masyarakat tidak terputus daripada realiti serta pandangan rakyat.
Menurutnya, pemimpin bukan sahaja perlu bersedia menjelaskan keputusan yang dibuat, malah perlu mempunyai kesediaan untuk mendengar kritikan dan menerima teguran.
Sesungguhnya, kematangan demokrasi sesebuah negara turut diukur pada kesediaan pemimpinnya untuk mendengar, menjawab dan menerima teguran rakyat dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab,” katanya.
Dialog Negara Khas “Di Sebalik Keputusan…” itu menjadi salah satu ruang komunikasi kerajaan untuk menerangkan pertimbangan di sebalik dasar dan keputusan pentadbiran, selain memberi peluang kepada wakil masyarakat mengemukakan persoalan secara langsung.
BACA JUGA Nak bantuan tapi Belanjawan Selangor 2027 tak mahu sokong, ramai kecam tindakan tujuh ADUN Pas berkecuali