Ipsos: Malaysia kedua tertinggi daripada 30 negara dalam keyakinan terhadap hala tuju negara
Malaysia mencatatkan tahap keyakinan kedua tertinggi terhadap hala tuju negara berdasarkan kajian antarabangsa Ipsos menerusi laporan What Worries the World bagi Oktober 2026.
Kajian itu mendapati 69 peratus responden Malaysia percaya negara sedang bergerak ke arah yang betul, sekali gus mengatasi purata global sebanyak 37 peratus.
Singapura menduduki tempat pertama dengan 79 peratus, manakala India dan Hungary masing-masing mencatatkan 61 peratus.
Keempat-empat negara berkenaan merupakan satu-satunya negara daripada 30 negara yang dikaji dengan majoriti responden berpandangan positif terhadap hala tuju negara masing-masing.
Sebaliknya, Perancis berada di kedudukan terakhir apabila hanya tujuh peratus responden berpandangan positif terhadap hala tuju negara tersebut.
Malaysia turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dari segi persepsi terhadap keadaan ekonomi semasa apabila 73 peratus responden memberikan penilaian positif.
Angka itu meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di belakang Singapura, selain mengatasi purata global sebanyak 37 peratus.
Menurut laporan Ipsos, keadaan ekonomi merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi pandangan masyarakat terhadap hala tuju sesebuah negara.
Di peringkat global, inflasi serta jenayah dan keganasan masing-masing mencatatkan 31 peratus sebagai kebimbangan utama, diikuti kemiskinan dan ketidaksamaan sosial serta pengangguran, masing-masing sebanyak 29 peratus.
Dapatan kajian tersebut memberikan petunjuk positif terhadap sentimen masyarakat Malaysia ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, meskipun pelbagai cabaran domestik masih perlu ditangani.
BACA JUGA Zahid takut PN atau takut Umno jadi ‘adik’ dalam gabungan?