Zahid takut PN atau takut Umno jadi ‘adik’ dalam gabungan?
Pendirian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mahu terburu-buru membuka pintu kerjasama Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional(PN) menjelang PRU16 dilihat seorang penganalisis bukan sekadar soal strategi pilihan raya, sebaliknya mungkin berkait dengan usaha Umno mempertahankan kedudukan dan pengaruhnya dalam percaturan politik Melayu.
Penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Syaza Shukri, berpandangan pendirian Zahid itu mungkin didorong kebimbangan bahawa PN, yang mempunyai kekuatan lebih besar dalam kalangan pengundi Melayu, berpotensi menghakis pangkalan sokongan tradisional BN sekiranya rundingan pembahagian kerusi tidak memihak kepada Umno.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Syaza berkata, sikap berhati-hati Zahid boleh menjadi strategi untuk memastikan BN tidak terlalu awal terikat dengan PN, sekali gus mengekalkan ruang rundingan dan identiti politik kedua-dua gabungan.
“Zahid perlu memastikan BN dan PN kekal sebagai dua entiti yang berbeza,” katanya.
Pendirian itu muncul selepas BN dan PN masing-masing mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 15 November, namun Zahid sebelum ini menegaskan kerjasama kedua-dua gabungan belum pernah dirancang untuk diteruskan sehingga PRU16, dengan perbincangan mengenai perkara itu hanya akan dibuat pada masa sesuai.
Bagaimanapun, pendirian tersebut berbeza dengan desakan Pas yang mahu rundingan dimulakan lebih awal, terutama berkaitan pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertindihan calon dan persaingan sesama blok pembangkang.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, sebelum ini menggesa BN dan PN tidak menangguhkan rundingan, manakala Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut menyatakan kedua-dua pihak perlu bersedia berkompromi demi membentuk kerjasama politik.
Namun, dalam percaturan politik, pihak yang terlalu cepat menunjukkan keinginan untuk bekerjasama juga berisiko kehilangan kelebihan tawar-menawar, terutama apabila kerusi dan pengaruh menjadi perkara utama yang dipertaruhkan.
Penganalisis Global Asia Consulting, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, pula melihat persoalan ini lebih besar daripada sekadar siapa bakal memenangi PRU16, sebaliknya menyentuh kebimbangan Umno terhadap kehilangan dominasi politik jika bergabung dengan blok yang lebih kuat.
“Ketakutan terbesar Zahid mungkin bukan kalah PRU16 kepada PN, sebaliknya menang PRU16 bersama PN tetapi kemudian mendapati Umno telah kehilangan dominasi politiknya,” katanya.
Pandangan itu memberi gambaran bahawa bagi Umno, persoalan kerjasama dengan PN bukan semata-mata tentang peluang membentuk kerajaan, tetapi juga bagaimana parti itu mahu memastikan kedudukannya tidak berubah menjadi sekadar rakan kecil dalam gabungan yang lebih besar.
Zaharuddin turut mengingatkan PN supaya tidak terlalu mendesak BN untuk bekerjasama kerana pendekatan sedemikian boleh melemahkan kedudukan rundingan sendiri. Menurutnya, pihak yang kelihatan terlalu memerlukan rakan politik mungkin kehilangan kelebihan dalam menentukan syarat kerjasama.
Dalam masa sama, beliau berpandangan Ahmad Samsuri perlu membuktikan PN bukan sekadar mempunyai kekuatan di kawasan majoriti Melayu, tetapi juga mampu meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu boleh mentadbir sebuah negara berbilang kaum.
Kekuatan dari segi jumlah kerusi, katanya, tidak semestinya mencukupi jika gabungan itu gagal membina sokongan yang lebih luas untuk membentuk kerajaan dan menguasai Putrajaya.
PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028, kecuali Parlimen dibubarkan lebih awal.
Persoalannya, adakah Zahid benar-benar mahu menutup pintu kepada PN, atau strategi itu sebenarnya untuk memastikan Umno tidak masuk ke meja rundingan dalam keadaan terdesak?
BACA JUGA Angguk berbelas kali dan main jam tangan, bahasa tubuh MB Pas depan Duta Austria cetus sindiran