Enam bulan aduan judi dalam talian tiada tindakan, Anwar pertahan saman MCMC terhadap Google
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyaman Google berhubung kandungan perjudian dalam talian.
Anwar berkata, beliau telah pun menghubungi Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Google, Ruth Porat, semalam dan membangkitkan soal saman tersebut yang dibuat selepas syarikat teknologi itu lambat bertindak selepas enam bulan aduan dibuat.
Bagaimanapun beliau berkata, saman ini tidak menjejaskan pelaburan syarikat gergasi tersebut di Malaysia.
“Antara yang kita laporkan kepada Google ialah kes perjudian dalam talian, tetapi selepas enam bulan, tiada tindakan diambil.
“Bagaimanapun, saya sudah membangkitkan perkara ini dengan Google. Saya percaya syarikat itu sedang meneliti perkara berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya. Semalam saya sendiri menghubungi Ruth Porat
“Ini tidak akan menjejaskan (pelaburan),” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, saman MCMC terhadap Google berhubung dakwaan kegagalannya menangani kandungan berbahaya di YouTube sudah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia.
Teo berkata kelemahan sistem tapisan kandungan YouTube menyebabkan SKMM terpaksa menggunakan kakitangannya sendiri untuk memantau dan melaporkan kandungan perjudian dalam talian, sedangkan Google sepatutnya mempunyai pasukan sendiri untuk menjalankan tugas itu.
Rabu lalu, MCMC mengumumkan pihaknya memfailkan dua saman terhadap Google LLC, menuntut jumlah ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan berbahaya di YouTube.