‘Faham batas tugas, jangan melampaui kuasa’, Tuanku Muhriz ingatkan Exco baharu

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dilantik supaya memahami batas tugas dan tidak bertindak melampaui bidang kuasa masing-masing.

Baginda turut menitahkan agar kemelut yang melanda Negeri Sembilan sebelum ini dijadikan pengajaran dan pedoman supaya perkara sama tidak berulang sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

“Segala peristiwa dan isu tercetus baru-baru ini harus dijadikan pengajaran dan pedoman oleh semua pihak terutamanya kamu semua sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Enam Exco dilantik sekali gus pentadbiran kerajaan negeri kembali dibentuk hari ini selepas berdepan kemelut berpanjangan hampir empat bulan.

Empat dari Barisan Nasional (BN)/Umno iaitu ADUN Kota, Suhaimi Aini, Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang) dan ADUN Repah, Koh Kim Swee (MCA).

Selain itu, ADUN Gemas dari Wawasan, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria dari Pas.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, manakala Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim turut hadir.

Berulang

Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz menegaskan bahawa baginda tidak mahu perkara sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil rakyat yang terpilih menganggotai barisan Exco baharu sambil mengingatkan bahawa pelantikan tersebut bukan sekadar penghormatan, malah membawa tanggungjawab dan amanah besar kepada negeri serta rakyat.

“Kamu semua perlu memberikan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Utamakan kepentingan rakyat, laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta pastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut mendoakan agar Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada Menteri Besar serta seluruh barisan Exco dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera, demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda lagi.

BACA JUGA Tuanku Muhriz noktahkan kemelut, PH ingatkan BN-PN jangan ulang perbuatan derhaka