Gara-gara ‘Praying for Man United’, Menteri Agama tegur stesen radio, solat bukan bahan lawak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menegur tindakan sebuah stesen radio yang menerbitkan kandungan mengaitkan ibadah solat dengan perlawanan bola sepak sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan umat Islam.

Kontroversi itu susulan penularan video bertajuk ‘Praying for Man United’ yang memaparkan dua penyampai radio melakukan pergerakan menyerupai rukuk dan sujud.

Video berdurasi kira-kira 11 saat itu turut memaparkan keputusan perlawanan bola sepak membabitkan Manchester United dan Sporting CP yang berakhir dengan keputusan 2-2.

Zulkifli menerusi kenyataan media hari ini menegaskan bahawa ibadah solat merupakan tiang agama dan syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya.

“Ibadah solat merupakan tiang agama dan syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya, serta sama sekali tidak boleh dijadikan bahan jenaka, hiburan murahan, mahupun elemen parodi dalam apa jua bentuk penyiaran,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pengamal media dan pencipta kandungan supaya sentiasa peka terhadap sensitiviti keagamaan dalam usaha memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Katanya, kebebasan berkarya dan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mempersendakan ritual ibadah sehingga mengundang kemarahan masyarakat.

“Kebebasan berkarya dan bersuara tidak sesekali menghalalkan tindakan mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah yang boleh mengundang kemarahan serta menggugat ketenteraman awam,” tegasnya.

Sehubungan itu, Zulkifli menggesa pihak pengurusan stesen radio berkenaan segera memastikan kandungan tersebut diturunkan serta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Beliau turut menuntut agar pihak pengurusan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

“Marilah kita bersama-sama memelihara adab, saling menghormati kesucian agama, serta menjadikan platform media sebagai wadah yang mendidik dan menyatupadukan masyarakat demi keredaan Allah,” katanya.

Sementara itu, dua penyampai radio Fly FM, Ean Nasrun dan Adam Raqeem telah membuat permohonan maaf secara terbuka, termasuk menerusi siaran radio.

BACA JUGA Tuanku Muhriz noktahkan kemelut, PH ingatkan BN-PN jangan ulang perbuatan derhaka