Industri jualan langsung catat jualan lebih RM150 bilion, KPDN peruntuk RM5 juta luas pasaran

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Direct Selling International Malaysia’ (DSIM) 2026 X Hari Jualan Langsung disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari, yang mewakili Mohd Sayuthi Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeridan Kos Sara Hidup di IOI Grand Exhibition & Convention CentreAras 3 (East @ New Wing), IOI City Mall Putrajaya. 26hb November 2026. (Gambar: UKK KPDN)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan RM5 juta bagi memperkasakan industri jualan langsung tempatan serta meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa. Peruntukan itu disediakan menerusi inisiatif Enhanced Direct Selling Development Program (EDSD) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh pelaksanaan 2026 hingga 2030.

Setiausaha Bahagian Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari berkata, tiga skop utama yang diluluskan di bawah inisiatif berkenaan ialah Latihan Pemasaran Perniagaan ke Peringkat Antarabangsa, Misi Perdagangan Antarabangsa dan Direct Selling International Malaysia (DSIM).
Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan media Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, pada Majlis Perasmian Direct Selling International Malaysia (DSIM) 2026 X Hari Jualan Langsung di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, IOI City Mall, Putrajaya, pada Khamis, 26 November.

Menurut kenyataan itu, industri jualan langsung negara telah mencatatkan nilai jualan melebihi RM150 bilion sejak 2021 dengan purata sekitar RM30 bilion setiap tahun. Malaysia turut berjaya melonjak daripada tangga ketujuh dunia pada 2021 kepada tangga kelima pada 2025, manakala di peringkat Asia Pasifik, negara meningkat daripada kedudukan kelima kepada ketiga dalam tempoh sama.

“Lebih membanggakan, Malaysia mencatatkan kadar penembusan pasaran jualan langsung tertinggi di dunia (nombor 1) bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu 2.2 peratus (tahun 2024) dan 2.4 peratus (tahun 2025). “Pengiktirafan ini meletakkan industri jualan langsung Malaysia setanding dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China dan Jepun,”

Dalam pada itu, penganjuran DSIM 2026 melibatkan 49 penerima lesen, merangkumi 18 lesen baharu dan 31 lesen pembaharuan, selain penyertaan lebih 50 syarikat tempatan dan antarabangsa yang membuka reruai pameran. KPDN turut memberi keutamaan kepada usaha memperluas penyertaan syarikat jualan langsung tempatan dalam pasaran domestik serta menyokong usaha mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Menerusi program Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA), pemain industri jualan langsung berpeluang memperkenalkan lebih banyak produk keluaran Malaysia kepada pengguna dalam dan luar negara. Syarikat jualan langsung turut digalakkan merangka strategi pemasaran yang jelas, mengenal pasti segmen pengguna, menetapkan harga bersesuaian serta melengkapkan pengedar dengan pengetahuan produk dan kemahiran pemasaran. KPDN akan meneruskan agenda merancakkan pembangunan industri berkenaan melalui usaha memperkasa perkhidmatan dan produk ke arah mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif serta dinamik

Kerajaan juga kekal optimis bahawa industri jualan langsung mampu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat serta menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi negara. “Berdasarkan peningkatan prestasi jualan syarikat-syarikat jualan langsung di Malaysia, kerajaan menyasarkan industri ini mampu menyumbang melebihi RM34 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada penghujung tahun 2026 ini,” menurut kenyataan itu. Pembangunan industri berkenaan turut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memastikan kemakmuran negara dapat dikongsi secara adil, saksama dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.