Malam Jumaat di bumi Oman, berakhir sudah pengembaraan Kapten AA
Personaliti media sosial, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA RARETV menghembuskan nafas terakhir pada malam Jumaat di sebuah hospital di Muscat, Oman.
Allahyarham yang difahamkan berada di negara berkenaan bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu terbitan TV AlHijrah meninggal dunia selepas menerima rawatan akibat demam dan jangkitan paru-paru.
Khabar duka mengenai pemergian Allahyarham dikongsikan jurugambar, Saiful Nang menerusi hantaran di platform Threads.
Menurut Saiful, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu tempatan, selepas masuk waktu Maghrib di Muscat.

“Arwah baik orangnya. 6.58 pm (selepas Maghrib di Muscat). Malam Jumaat,” katanya.
Saiful turut memaklumkan bahawa Allahyarham sebelum itu mengalami demam dan jangkitan paru-paru sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Kapten AA atau nama penuhnya, Muhammad Akhmal Asyraf bin Mohd pada mulanya dibawa ke sebuah hospital di Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat.
Namun, pengembaraan Allahyarham di bumi Oman dalam menjayakan penggambaran program keagamaan itu akhirnya menjadi perjalanan terakhirnya.
Perkongsian Saiful yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik turut menjadi catatan ringkas mengenang pemergian personaliti media sosial berkenaan.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Kapten AA dan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.
BACA JUGA ‘Takkan 10 sebab memilih Umno pun tak tahu lagi?’ Aksi Zahid baca Buku Biru mengundang sindiran