Pembangkang dicabar bentang belanjawan alternatif, bukan sekadar menolak
Pengulas politik, Jamzuri Ardani mencabar pembangkang supaya membentangkan belanjawan alternatif sekiranya tidak berpuas hati dengan belanjawan yang dikemukakan kerajaan.
Beliau berkata, pembangkang seharusnya mengenal pasti kelemahan belanjawan berkenaan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan, bukan sekadar menolaknya.
“Ataupun, kamu buat bajet alternatif dan bentang pada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jamzuri turut mempersoalkan kewajaran menolak belanjawan yang mengandungi pelbagai peruntukan untuk kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi dan kepentingan institusi Islam.
Menurutnya, antara manfaat yang terkandung dalam belanjawan bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” itu ialah pakej rangsangan ekonomi, bantuan kepada rakyat serta kenaikan gaji guru agama.

Selain itu, katanya, kerajaan turut menyediakan sumbangan kepada jemaah haji, elaun pegawai masjid serta bantuan kepada sekolah agama dan tahfiz.
Peruntukan untuk membantu golongan miskin dan meningkatkan kemudahan infrastruktur yang terkandung dalam belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu itu turut menjadi perhatian beliau.
“Bukankah itu semua baik. Kenapa tak sokong?” soalnya.
Jamzuri turut mempersoalkan sama ada sentimen terhadap DAP yang menjadi sebahagian daripada kerajaan mempengaruhi pendirian pembangkang terhadap belanjawan berkenaan.
Beliau mengkritik sikap mengutamakan permusuhan politik sehingga mengetepikan pertimbangan terhadap manfaat sesuatu dasar kepada rakyat.
Pandangan tersebut turut mengetengahkan kepentingan pembangkang memainkan peranan konstruktif dalam menyemak dasar ekonomi dan perbelanjaan kerajaan.
Dalam sistem demokrasi berparlimen, kritikan terhadap belanjawan merupakan sebahagian daripada proses semak dan imbang, manakala cadangan alternatif membolehkan rakyat menilai dasar yang ditawarkan setiap pihak.
BACA JUGA Abbas kritik tujuh ADUN Pas enggan undi Belanjawan 2027 walau babitkan tambahan elaun guru KAFA