Tokoh akademik Dr Chandra meninggal dunia

Tokoh akademik dan penganalisis politik terkenal, Dr Chandra Muzaffar menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 79 tahun.

Allahyarham dikejarkan ke Hospital KPJ Damansara kerana masalah jantung dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 6 petang tadi.

Berita pemergian Dr Chandra Muzaffar dikongsikan oleh Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST) menerusi satu kenyataan.

“Kami amat berdukacita atas pemergian beliau dan akan memaklumkan butiran lanjut mengenai urusan pengebumian sebaik sahaja maklumat berkenaan diperoleh.

“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh,” menurut JUST.

Allahyarham dilahirkan pada 1947 di Bedong, Kedah dan merupakan ahli sains politik Malaysia.

Allahyarham yang juga Presiden JUST merupakan tokoh yang banyak mengulas isu geopolitik, dasar luar dan hubungan antarabangsa.

Beliau pernah mempengerusikan Yayasan Perpaduan Malaysia dan sering berkongsi pandangan mengenai perkembangan politik serta hubungan antarabangsa.