‘20 tahun lagi aku masih nak hidup tanpa air?’ Luahan anak muda Kelantan raih perhatian
Luahan seorang anak muda Kelantan mengenai masalah bekalan air dan peluang pekerjaan di negeri kelahirannya mendapat perhatian ramai di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna akaun @aqmar_n_her yang pernah menetap selama 23 tahun di Kelantan menceritakan pengalamannya menghadapi masalah bekalan air sejak beberapa tahun lalu.
Antara pengalaman yang dikongsikan adalah ketika mengikuti pengajian di sebuah kolej matrikulasi di Kelantan pada 2020, sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19.
Menurutnya, bekalan air ketika itu kadangkala berkarat sebelum terputus untuk tempoh yang panjang sehingga menyukarkan kehidupan harian pelajar.
Pelajar juga didakwa terpaksa mencari sumber air di blok kelas dan makmal semata-mata untuk mandi, menggosok gigi serta memenuhi keperluan asas.
Walaupun pihak kolej mengambil inisiatif membawa masuk bekalan air menggunakan tangki, menurutnya, usaha tersebut masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pelajar.
Dia turut menyuarakan kebimbangan mengenai kebergantungan penduduk terhadap sumber air bawah tanah serta kemungkinan kesan pengambilan air secara berlebihan terhadap alam sekitar.
Selain masalah air, penulis turut membangkitkan isu kekurangan peluang pekerjaan dan kadar pendapatan yang mendorongnya berhijrah ke Kuala Lumpur.
Dalam hantarannya, dia menggesa perubahan kepimpinan negeri sambil mempersoalkan empat perkara, iaitu alasan kekurangan dana, keutamaan pembangunan lebuh raya berbanding pembelian Mercedes, penggunaan sentimen agama dalam isu air serta kekurangan peluang pekerjaan.
Dia turut mempersoalkan ungkapan “air ko islei” atau air atau Islam, yang pada pandangannya tidak sepatutnya digunakan untuk meletakkan agama dan keperluan asas rakyat sebagai dua pilihan yang bertentangan.
Perkongsian itu turut mendapat reaksi pengguna Threads, @eusoffya yang menyatakan bahawa dia tidak lagi mengundi Pas kerana kecewa dengan kepimpinan parti berkenaan.
“Sy xundi doh pas..bengong dooh dh etek…buke namo parti tu bengong..ore hok hndle parti tu bengong nyo..sep2 tunggang agamo blako..pah ceroh ugut nga namo islam..” tulisnya dalam loghat Kelantan.
Penulis asal turut mempersoalkan sikap sebahagian perantau Kelantan yang menikmati kemudahan di negeri lain tetapi terus memberikan sokongan kepada Pas ketika pulang mengundi.
Dia berpandangan bahawa penyediaan bekalan air dan pewujudan peluang pekerjaan merupakan antara tanggungjawab penting yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
Hantaran yang meraih 43,800 tontonan itu turut mengajak generasi muda memikirkan sama ada masalah yang dihadapi hari ini akan terus membelenggu kehidupan mereka dalam tempoh 20 tahun akan datang.