Anwar beri amaran keras, tiada kompromi isu rasuah dan seludup dadah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI kekal tegas menentang amalan rasuah dan penyeludupan dadah.

Katanya, tindakan keras akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat, walaupun ketegasan itu menyukarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Jadi kita tentu ambil tindakan yang keras. Bila kita ambil tindakan keras menentang rasuah, jangan anggap ini mudah.

“Kedudukan kerajaan, apa lagi Perdana Menteri akan lebih sukar bila keras menentang rasuah daripada 1MDB kepada FELDA, Tabung Haji dan penyeludupan dadah,” katanya pada Majlis Ilmu MADANI yang menampilkan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi sebagai tetamu di Kompleks Seri Perdana, malam tadi.

Anwar berkata, aspek integriti melibatkan pasukan keselamatan serta pertahanan negara tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata pasukan pertahanan negara perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman dan mengekalkan integriti untuk menjaga kedaulatan Malaysia.

“Bahagian ketenteraan kita itu, pertahanan mesti kental, integriti harus ada.

“Tak sekonyong-konyong timbul segala soal rasuah, penyeludupan dadah, penggunaan jet dan pesawat tentera untuk menyeludup dadah,” katanya.

Pada 17 November lepas, 11 individu terdiri daripada lima pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.

Polis turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia dalam operasi berkenaan.