Penyokong tegar pembangkang kena sekolah lepas ‘claim’ BN-PN berjaya selesai krisis takhta ditinggalkan PH
Seorang penyokong tegar pembangkang disekolah ramai selepas mendakwa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya menyelesaikan krisis takhta Negeri Sembilan yang kononnya berpunca daripada legasi masalah peninggalan Pakatan Harapan (PH).
Menerusi hantarannya di media sosial, dia berkata, mandat rakyat kepada BN-PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak sia-sia kerana gabungan itu kononnya berjaya menyelesaikan krisis takhta berkenaan secara harmoni.
“Akhirnya krisis di Negeri Sembilan berjaya diselesaikan dengan harmoni. Tak sia-sia rakyat memberikan mandat kepada BN-PN dalam PRN yang lepas. Satu lagi legasi masalah yang ditinggalkan PH berjaya diselesaikan,” tulisnya di Threads.
Dakwaan itu bagaimanapun mengundang respons sinis pengguna media sosial, yang membidas naratif berkenaan kerana punca masalah semuanya berpunca daripada gabungan BN-PN, tetapi akhirnya PH dipersalahkan.
“Sendiri cipta masalah. Sendiri guling kerajaan. Sendiri janji akan selesaikan. Sendiri tidak dapat selesaikan. Sendiri tunduk, akur dan u-turn. Sendiri umum sudah selesai. #BNPNBestJoke,” balas seorang pengguna media sosial.
Pengguna media sosial mempersoalkan bagaimana PH pula yang dipersalahkan sedangkan episod yang mencetuskan kontroversi besar berlaku selepas BN-PN membentuk kerajaan negeri.
Selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Datuk Ismail Lasim didakwa menandatangani proklamasi berkaitan penurunan takhta baginda yang bertarikh 19 April.
Isu itu kemudian mencetuskan pertikaian terbuka apabila Ismail mendakwa beliau menandatangani dokumen berkenaan secara tidak sukarela dan di bawah paksaan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang siapa yang memaksa beliau.
Kemelut semakin meruncing apabila barisan Exco kerajaan negeri mengumumkan pengiktirafan terhadap Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu, sedangkan kedudukan Tuanku Muhriz turut menjadi pertikaian.
Perkembangan itu memperlihatkan bagaimana barisan pimpinan BN-PN terus dibayangi gelaran penderhaka kerana cuba menurunkan seorang raja yang sah.
Ketegangan antara institusi diraja dengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan BN-PN terus memuncak selepas Tuanku Muhriz menegur Ismail secara terbuka di sebuah masjid di Kuala Pilah, dalam satu insiden yang jarang berlaku melibatkan Raja dengan ketua kerajaan negeri.
Rentetan peristiwa itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap dakwaan bahawa krisis berkenaan berpunca daripada PH, sedangkan kontroversi semakin memuncak selepas BN-PN mengambil alih pentadbiran negeri.
Tindakan dan keputusan yang dibuat selepas pertukaran kerajaan itulah yang menjadi perhatian, apabila kemelut berkenaan turut mencetuskan pertikaian melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan.