Bukan sekadar pesta makanan laut, Selangor mahu perluas pasaran hasil nelayan dan petani

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pesta Seafood Negeri Selangor disempurnakan oleh YB Dato Ir Izham EXCO Infrastruktur & Pertanian di Pusat Lelongan Agro Selangor, Sijangkang. 28hb Nov 2026.(Sabtu)

Penganjuran Pesta Seafood Negeri Selangor 2026 buat julung kalinya menjadi platform kerajaan negeri untuk memperluaskan pasaran hasil laut tempatan, selain mengetengahkan potensi sektor perikanan dan pertanian.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, usaha memperkukuh aspek pemasaran akan terus diberikan perhatian menerusi Pelan Transformasi Agro Fasa Kedua.

Menurutnya, pembangunan sektor agro bukan sahaja melibatkan aktiviti pengeluaran hasil pertanian dan penternakan, malah turut memerlukan kaedah pemasaran yang lebih meluas.

“Di bawah Pelan Transformasi Agro Fasa Kedua, kita memberi penekanan kepada memperluaskan lagi kejayaan kita sama ada dalam pertanian, ternakan, tanaman dan juga dalam aspek pemasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Seafood Negeri Selangor 2026 di Pusat Lelongan Agro Selangor (PLAS), Sijangkang, hari ini.

Izham berkata, pemilihan Sijangkang sebagai lokasi penganjuran pesta berkenaan amat bersesuaian dengan peranan pusat tersebut sebagai platform pemasaran hasil pertanian dan perikanan.

“Selain daripada mempromosikan hasil laut, kita juga mempromosikan Pusat Lelongan Agro Selangor di Sijangkang ini,” katanya.

Menurutnya, pusat berkenaan menawarkan tiga kaedah urus niaga iaitu lelongan, borong dan runcit bagi memenuhi keperluan pembekal serta pembeli.

Beliau turut menjelaskan bahawa sistem lelongan digital yang telah beroperasi lebih setahun itu merupakan antara pendekatan baharu kerajaan negeri dalam memperkasakan pemasaran hasil agro.

Katanya, usaha tersebut akan terus dipertingkatkan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh pembekal dan pengguna.

Dalam pada itu, Izham mengajak orang ramai mengambil peluang mengunjungi pesta berkenaan yang menawarkan pelbagai hasil laut tempatan pada harga yang disifatkannya murah.

Antara hasil laut yang diketengahkan menerusi pesta tersebut termasuk kerang, sotong dan kupang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada FAMA, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yayasan Hijrah Selangor serta Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) atas kerjasama menjayakan program berkenaan.


“Insya-Allah, banyak lagi sebenarnya program yang kita atur untuk warga Selangor dan kita sama-sama dapat melibatkan diri.

“Moga usaha kita ini akan membawa kebaikan kepada kita semua,” katanya.

Pesta Seafood Negeri Selangor 2026 berlangsung selama dua hari sehingga 29 November, dengan penglibatan usahawan, nelayan dan pembekal hasil laut.