Jangan panik jika telefon tiba-tiba berbunyi jam 10.10 pagi ini

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya telefon bimbit masing-masing mengeluarkan bunyi amaran kecemasan secara tiba-tiba pagi ini.

Ini susulan pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) secara serentak di seluruh negara bermula jam 10.10 hingga 10.30 pagi, Ahad, 29 November 2026.

Ujian berkenaan bertujuan menguji keberkesanan sistem penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai menerusi telefon bimbit.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ujian itu juga bagi membiasakan masyarakat dengan bunyi amaran khusus MySiren, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan ketika berdepan situasi kecemasan.

“Sistem ini tidak menggunakan sebarang data atau mengenakan kos kepada pengguna,” katanya seperti dilaporkan RTM pada 23 November lalu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional MySiren di bangunan Parlimen.

Sistem yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS), yang membolehkan notifikasi kecemasan dihantar terus kepada peranti 4G dan 5G yang serasi di kawasan terjejas.

Lebih menarik, pengguna tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi, membuat pendaftaran atau mempunyai sambungan Internet dan Wi-Fi untuk menerima amaran berkenaan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menjelaskan bahawa sistem tersebut tidak mempunyai akses kepada maklumat peribadi pemilik telefon bimbit.

Pada peringkat awal, MySiren memberi tumpuan kepada penyampaian amaran berkaitan bencana alam seperti banjir, cuaca buruk dan tanah runtuh.

Penggunaan sistem itu akan diperluaskan kepada insiden lain termasuk kebakaran serta kes kehilangan individu dan kanak-kanak.

Orang ramai turut disarankan supaya mengemas kini sistem operasi telefon pintar masing-masing bagi memastikan peranti mereka serasi untuk menerima notifikasi berkenaan.

Pelaksanaan MySiren merupakan antara langkah memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi bencana, sekali gus membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Maklumat lanjut mengenai sistem berkenaan boleh diperoleh menerusi laman rasmi MCMC di www.mcmc.gov.my/mysiren.

BACA JUGA Anwar lancar Masjid Warisan, sentuhan anak muda UIAM bakal menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur