25 penjawat awam dikenakan tatatertib babit ketirisan wang awam

25 penjawat awam dikenakan tatatertib babit ketirisan wang awam

Berikutan isu kehilangan wang awam dan pembaziran serius yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 dan 2021, seramai 25 penjawat awam yang terbabit dalam isu ketirisan wang awam telah dikenakan tindakan tatatertib.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata setakat ini terdapat seorang penjawat awam didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019.

Menurutnya, sebanyak 12 isu berjaya diselesaikan membabitkan kelemahan pengurusan kontrak, pengurusan perolehan, pengurusan program projek, kelemahan pengurusan wang dan ketidakpatuhan terhadap peraturan.

“Tujuh LKAN dibentangkan membabitkan pengauditan peringkat Persekutuan dan negeri sepanjang tempoh 2020 hingga 2021. Sebanyak 24 isu membabitkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan pada peringkat Persekutuan serta negeri sudah diaudit dalam tujuh LKAN itu yang dikategorikan sebagai isu punitif.

“Isu ini membabitkan ketirisan kehilangan wang awam dan pembaziran yang serius sama ada selesai diambil tindakan atau masih dalam tindakan siasatan lanjut oleh agensi penguatkuasa atau agensi pusat berkenaan.

“Sehingga 30 Oktober 2023, 12 isu telah selesai disiasat iaitu dua isu melibatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan 10 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Manakala 12 isu lagi masih dalam siasatan iaitu lima isu melibatkan siasatan oleh SPRM; enam melibatkan siasatan isu oleh Polis Diraja Malaysia; dan satu melibatkan siasatan isu oleh Malaysia Competition Commission,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Taiping) mengenai tindakan yang telah diambil oleh kerajaan dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN 2020 dan 2021.

Ramkarpal berkata, sebagai langkah ke hadapan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023 telah memutuskan supaya Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan secara berkala kepada Jemaah Menteri dengan format pelaporan baharu yang lebih berstruktur dan terperinci supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan dengan lebih berkesan oleh setiap kementerian serta agensi.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )