
3,159 PATI ditahan jalankan perniagaan tanpa lesen sejak Januari 2020
Jabatan Imigresen telah menahan 3,159 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah sejak Januari 2020 sehingga 22 Sept 2023.
“Ia dilaksanakan menerusi dua operasi iaitu Ops Belanja dan Ops Jaja. Ops Belanja menyasarkan premis perniagaan.
Seramai 585 pendatang asing ditahan menerusi Ops Jaja yang menumpukan kawasan pasar malam, pasar tani, pasar borong dan gerai jalanan,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).
Ikmal bertanya berkenaan usaha Kementerian Dalam Negeri membanteras kegiatan perniagaan warga asing.
Saifuddin menyatakan usaha ini dibuat menerusi kerjasama strategik melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Imigresen, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja di bawah PBT, kelulusan sewaan tapak pasar awam dan pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja dan warga asing yang bekerja dengan penyewa tapak pasar malam tersebut mestilah mempunyai pas kerja yang sah.
“Bagi penyewa tapak pasar yang menyewakan tapak kepada warga asing, PBT tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas dengan menarik semula sewaan tapak serta lesen perniagaan dibatalkan.”