31,600 bakal jemaah terima surat tawaran haji bermula esok

Sebanyak 31,600 surat tawaran menunaikan ibadah haji akan dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH) mulai esok.

Menurut Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran itu dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.

Bagi kes-kes tertentu, jelasnya, penerima surat tawaran boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berhampiran.

Katanya, menerusi surat tawaran, TH memperkenalkan pilihan bayaran sama ada bayar pada kadar yang ditetapkan mengikut kategori kumpulan atau bakal jemaah boleh membuat pilihan untuk membayar lebih mengikut kemampuan mereka.

Beliau berkata, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020 berusia 65 tahun ke atas bagi pemilihan jemaah haji.

Seterusnya, kata Syed Saleh, pemilihan dilakukan terhadap mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan selanjutnya tahun 2022 dan 2023.

“Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

“Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac 2023, dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram,” katanya dalam sidang media di ibu negara, semalam.

Jelasnya, sebanyak 50 peratus bakal jemaah adalah dalam kategori B40, manakala 48 peratus dalam golongan M40 dan dua peratus (T20).

BACA JUGA Malaysia kemuka permohonan tambah kuota haji 31,950 jemaah tahun depan