320,000 pelajar B40 bakal dapat manfaat Menu Siswa Rahmah

Sebanyak 320,000 pelajar di 20 Universiti Awam (UA) serta semua politeknik di seluruh negara bakal mendapat manfaat daripada inisiatif Menu Siswa Rahmah.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata inisiatif dengan hidangan makanan pada harga RM3.50 itu bagi pelajar daripada keluarga B40.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong dan berusaha membantu pelajar miskin supaya mereka tidak terjejas dalam melanjutkan pengajian hanya kerana kesusahan dan keperitan hidup.

Sebanyak 235 gerai di seluruh universiti awam dan politeknik bakal menyediakan Menu Siswa Rahmah.

“Jadi, hari ini saya ingin menyatakan KPT sudah mendapat komitmen penyertaan daripada semua 20 UA dan politeknik yang menawarkan makanan pada harga RM3.50.

“Langkah ini dapat membantu menangani kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan inisiatif Menu Siswa Rahmah di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, hari ini.

Jelasnya, pengusaha dapat mengurangkan harga makanan kepada pelajar memandangkan pihak UA tidak mengenakan kos penyewaan gerai kepada peniaga.

Pada masa sama, katanya, UA dan politeknik terbabit masih menyediakan Menu Rahmah, dengan hidangan pada harga RM5 kepada mereka yang berkemampuan.

“Untuk membezakan mahasiswa yang layak membeli Menu Siswa Rahmah, pihak UA dan politeknik menyediakan token kepada mereka,” katanya.

BACA JUGA Makanan ringkas tapi berkhasiat: Orang ramai puji Menu Rahmah

 

Â