
’33 bulan PN memerintah, semua tak jalan, sekarang salahkan kerengga pula’
Tindakan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyalahkan ‘kerengga’ dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin dilihat terus menjadi bahan sindiran.
Antaranya, tersebar di media sosial humor berupa gambar atau ‘meme’ kerengga dengan kapsyen, “Aik, aku pulak yang kena!”.
Tambah melucukan tertera ‘tajuk berita’, “Kerengga nafi punca isu royalti minyak tidak selesai zaman 33 bulan PN.”
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi akaun X beliau turut berkongsikan ‘meme’ kreatif yang mencuit hari itu.
Menteri Ekonomi berkenaan menempelak Perikatan Nasional (PN) yang terbukti tidak buat apa sepanjang 33 bulan berkuasa di Putrajaya termasuklah semasa harga barangan naik mendadak.
“Zaman 33 bulan dia memerintah, semua tak jalan. Ada saja alasan.
“Harga barang naik – bukan masalah besar. RUU355 – hilang terus
“Debat di Parlimen – semua Kerajaan Perpaduan buat tak kena tapi diri sendiri tak bagi idea baru.
“Alih-alih bila dah tak jadi kerajaan, salahkan kerengga pula,” kata Rafizi diikuti emoji ketawa.
Kelmarin, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN di Parlimen selamba berkata kerajaan PN sebelum ini ‘tidak sempat membaca’ perjanjian royalti minyak melibatkan Terengganu kerana “ada banyak benda nak urus”.
Presiden Pas itu turut mendakwa, ketika PN memerintah, terdapat banyak ‘kerengga’ mengganggu mereka sehingga menyaksikan berlakunya pertukaran Perdana Menteri beberapa kali.
Dia berkata demikian selepas soalan berkaitan royalti minyak kepada Terengganu dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Soalan itu timbul selepas Hadi menyentuh tentang isu royalti minyak kepada Terengganu ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Saya ingin tanya dalam dua tahun Perikatan Nasional memerintah, kenapa perjanjian itu tidak dikemas kini?
“Kekal zalim kepada rakyat Terengganu, kenapa tiada royalti lima peratus kepada rakyat Terengganu pada waktu itu?” soal Chean Chung.
Namun, Hadi pula menjawab seperti berikut yang kemudiannya mengundang sindiran orang ramai:
“Begini, sebenarnya kami ini (PN) banyak benda nak urus. Macam-macam kena urus. Masa kami memerintah dulu, kerengga banyak sangat mengacau, nak jatuhkan kerajaan.
“Macam mana nak baca perjanjian (royalti minyak) ini. Kami terpaksalah pertahan kerajaan… terpaksa beberapa kali tukar Perdana Menteri.
“Belah kami banyak layak jadi Perdana Menteri, Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) boleh, Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh, Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) boleh.
“Belah sana seorang saja yang boleh jadi Perdana Menteri. Belah sini banyak… Kalau belah sana datang sini, boleh ada banyak calon Perdana Menteri,” kata Hadi lagi.
BACA JUGA Banyak ‘kerengga’ duk kacau PN, tak sempat kami teliti perjanjian wang royalti