340 cawangan McDonald’s terlibat Menu Rahmah

Restoran khidmat segera, McDonald’s Malaysia (McD) hari ini melancarkan Menu Rahmah bagi membantu meringkan beban rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos sara hidup.

Naib Presiden McD, Melati Abdul Hai berkata, sebanyak tiga menu pilihan bakal ditawarkan ke seluruh 340 cawangannya di seluruh negara.

Beliau menambah, langkah tersebut bagi menyahut saranan Kementerian Perdagangan Kos dan Sara Hidup (KPDN) bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Pihak kami amat gembira kerana terlibat dengan Program Menu Rahmah ini.

“Ia bertepatan dengan komitmen kami yang banyak melakukan khidmat sosial terutamanya pada waktu pandemik,” kata beliau semasa memberi ucapan Program Pelancaran Menu Rahmah di Damansara Mutiara.

Selain itu, Melati yang juga Ketua Pemasaran McD menjelaskan usaha tersebut secara tidak mampu menarik lebih banyak pelanggan tanpa mengira kelas dan latar belakang.

“Ramai yang menganggap hidangan McDonald’s sebagai makanan yang mahal.

“Oleh itu, kami berharap usaha ini dapat menukar persepsi masyarakat untuk menjadikan ia pilihan semua,” ujarnya lagi.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku perasmi dalam program berkenaan.

Sementara itu, Salahuddin berkata selain inisiatif makanan pihaknya turut bercadang membuat edisi Jualan Rahmah sebagai persediaan menjelang raya nanti.

“Kementerian (KPDN) juga memberi fokus kepada pelan yang lain bagi membantu rakyat.

“Minggu depan pihak kami akan mengumumkan Jualan Rahmah Raya melibatkan kerjasama syarikat kain terkemuka, sama-sama kita nanti,” jelasnya.

Untuk rekod, selain Mcd, antara rangkaian makanan segera yang terlibat dalam Menu Rahmah adalah Burger King, Marrybrown, A&W dan Domino’s Pizza.

Dijangkakan lebih banyak lagi syarikat makanan dan minuman (F&B) besar yang turut menyertai ikhtiar murni ini.

BACA JUGA McDonald’s lancar Menu Rahmah