64,253 jalan berlubang seluruh negara berjaya ditampal dalam tempoh 24 jam

Sebanyak 64,253 jalan berlubang (potholes) berjaya ditampal dalam tempoh 24 jam selepas penemuan ataupun menerusi aduan kerosakan yang diterima.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, melalui Program Aku Janji Sifar Lubang (zero potholes) yang dilancarkan 3 Julai 2020, penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam.

“Bermula Januari sehingga Disember 2022, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya menampal sebanyak 7,700 jalan berlubang di Semenanjung Malaysia.

“Untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, sebanyak 56,553 bilangan juga berjaya ditampal dalam tempoh yang sama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan pencapaian terkini pelaksanaan dasar ‘zero potholes’ yang dilaksanakan kementerian.

Jelas Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis, pencapaian itu adalah sebahagian daripada Program Aku Janji Sifar Lubang antara KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi jalan persekutuan bagi memantau kerosakan jalan raya.

“Bagi memantau kualiti tampalan jalan berlubang, JKR juga telah melaksanakan Audit Tampalan Potholes bagi memastikan kerja (tampalan) yang dibuat mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, dimaklumkan hanya 431 jalan berlubang tidak dapat ditampal dalam tempoh 24 jam dengan peratusan pencapaian keseluruhan adalah sebanyak 99.24 peratus,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Hanya 13 peratus faktor nahas maut berpunca faktor keadaan jalan