8 tahun AMANAH: Dari parti nyamuk kepada parti yang membanggakan

8 tahun AMANAH: Dari parti nyamuk kepada parti yang membanggakan

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan kepada semua ahli parti itu agar sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia dan menjauhi amalan takfiri, label-melabel serta keji-mengeji sesama insan.

Sempena ulang tahun kelapan penubuhan AMANAH, Mohamad mengucapkan rasa syukur kerana parti itu sentiasa istiqamah dalam memartabatkan Islam.

“Alhamdulillah, semangat kita semua tak pernah luntur. Dari setahun ke setahun kita terus istiqamah untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat untuk semua.

“Dahulu ada kata AMANAH ini hanya parti nyamuk, yang riwayatnya tidak akan lebih dua tahun.

“Hari ini, 16 September 2023, kita semua bersyukur dan berbangga untuk menyambut ulang tahun kelapan penubuhan Parti Amanah Negara.

“Selamat menyambut ulang tahun AMANAH kelapan buat semua,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, sepertimana yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW, semua pihak harus membudayakan politik matang, berintegriti dan hujah yang bersandarkan fakta serta kebenaran.

“Ingatlah, kebenaran akan sentiasa berpihak pada pihak benar. Perjuangan kita untuk memposisikan AMANAH sebagai wadah politik Islam progresif yang bersifat inklusif serta peduli dengan keluh kesah rakyat Malaysia masih belum selesai.

“Banyak lagi usaha perlu dibuat untuk mencapai matlamat ini. Sejak dari mula tertubuhnya AMANAH sehingga ke hari ini, banyak ujian dan dugaan yang telah kita tempuhi,” kata Mohamad lagi.

AMANAH memperolehi kemenangan kepada kedua-dua kerusi yang ditandinginya di Johor baru-baru ini. Ia telah menaikkan imej parti itu.

BACA JUGA Ramai intelektual nobatkan AMANAH bakal jadi parti pilihan

COMMENTS

Wordpress (0)