82.9 peratus penerima TUNS berjaya tingkat pendapatan

Inisiatif Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang diperkenalkan kerajaan negeri, kini menyaksikan sebanyak 82.9 peratus penerima bantuan itu berjaya meningkatkan pendapatan mereka pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 80 peratus penerima pula berjaya mengembangkan perniagaan mereka.

“Perkembangan positif itu dapat dilihat seperti mereka boleh menggajikan pekerja, mempelbagaikan produk serta perkhidmatan, meningkatkan produktiviti atau beralih ke premis lebih besar.

“Sejak tahun 2019 sehingga 2022, seramai 5,149 usahawan tempatan telah menerima manfaat daripada insiatif berkenaan.

“Semoga tabung ini mampu membangunkan lebih ramai usahawan di Negeri Sembilan dan seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, InsyaAllah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, semalam.

Peratusan tersebut diperolehi menerusi kajian yang dilakukan Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan.

TUNS merupakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 yang disasarkan kepada penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan.

Objektif utama penubuhan TUNS bertujuan supaya lebih ramai golongan usahawan pada skala ini berjaya diwujudkan melalui bantuan tersebut.

TUNS juga secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, di samping membantu merangsang pertumbuhan ekonomi.