83 syarikat dilantik laksana kontrak panel berpusat perabot – MOF

Sebanyak 83 syarikat telah dilantik bagi pelaksanaan Kontrak Panel Berpusat (KPB) Perabot baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 15 Januari 2023 sehingga 14 Januari 2026.

Kesemua syarikat yang dilantik adalah dalam kalangan syarikat pembuat perabot Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian dalam kenyataan berkata selaras dengan penguatkuasaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), pelaksanaan KPB Perabot akan ditentukan secara Multi-Use List (MUL) yang dijangka bermula pada Januari tahun depan.

Kementerian Kewangan mengadakan Majlis Perjumpaan Bersama Syarikat Panel Perabot Kontrak Berpusat di Kompleks Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya semalam.

Dalam majlis itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kamil Abdul Munim mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penyerahan kertas cadangan daripada Persatuan Perabot.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datin Rashidah Mohd Sies.

BACA JUGA: PM Anwar lantik lima penasihat khas Menteri Kewangan