‘Pergilah kerjakan haji dulu, rugi ditangguh hanya sebab sentimen politik’

Pengundi di DUN Ayer Kuning yang mendapat peluang menunaikan umrah atau haji dinasihatkan tidak menangguhkan ibadat tersebut hanya kerana mahu mengundi pada 26 April ini.

Naib Pengerusi 1 Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, peluang mengerjakan haji melalui Tabung Haji (TH) adalah tertakluk kepada tempoh pendaftaran kecuali jika memilih untuk menunaikan haji secara “swasta” dengan kos yang tinggi.

“Maknanya jika seseorang menolak tawaran mengerjakan haji semata-mata kerana mahu mengundi dalam PRK, maka peluangnya untuk mendapat tawaran semula mungkin agak tipis dan terpaksa menunggu beberapa tahun lagi.

“Kalau tanya ambo, ambo suruh gi haji dulu, siapa pun yang menang dalam pilihan raya tidak memberi apa-apa mudarat kepada Islam dan umatnya.

“Amat rugilah jika peluang mengerjakan haji ditangguhkan kerana sentimen politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Menurut Hadi, ketetapan tersebut sebagai mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Malah, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim sepanjang sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW hanya menangguhkan ibadat haji dan umrah akibat dihalang memasuki Mekah oleh kaum Musyrikin sehingga termeterainya Perjanjian Hudaibiyah.

“Maknanya Nabi saw menangguhkan niat mereka untuk menunaikan haji kerana ada halangan yang besar yang boleh memudaratkan umat Islam jika diteruskan.

“Ambo yakin sekadar beberapa orang meninggalkan urusan mengundi dalam pilihan raya bukan satu mudarat kepada umat Islam sehingga mereka terpaksa membatalkan tuntutan Islam yang lain,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Rupanya bini no 2 calon Pas PRU 15 lalu…