“Hutang minta Pusat bayar, duit buat beli Mercedes”

Tindakan kerajaan negeri Kelantan meminta kerajaan pusat membayar hutang berjumlah RM60 juta Lebuhraya Rakyat disindir oleh pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Ini kerana, kerajaan negeri Kelantan gagal untuk menjaga kepentingan rakyat dan hanya bersedia menjaga kemudahan pemimpin mereka sahaja, kata Hisyamuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah J-Kom.

“Lebuhraya Rakyat, Kelantan hutang kontraktor RM60 Juta. Exco Kelantan minta Kerajaan Pusat bayar.

“Beli Mercedes RM3.5 juta untuk MB, TMB, Exco boleh pula. Untuk kemudahan rakyat takda pitis!” tulis Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz itu.

Kereta Mercedes yang dibeli oleh kerajaan negeri untuk pemimpinnya ketika diletakkan di perkarangan pejabat Pas Kelantan.

Media rasmi Pas, Harakahdaily dalam laporannya berkata, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor berkata, Lebuh Raya Rakyat merupakan sebahagian pakej dalam projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.

Menurut beliau, projek tersebut membabitkan pakej 3B iaitu dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab sepanjang 10 kilometer dan diserah kepada kerajaan pusat untuk disiapkan.

“Kerajaan pusat sudah setuju untuk ambil projek lebuh raya rakyat, cuma dia ambil tanpa liabiliti kita, hutang kita lebih RM60 juta lebih dan telah bayar sikit-sikit.

“Sekarang sudah tinggal RM53 juta, minta jasa baik Kok Lanas untuk ambil sekali dengan hutang-hutang tersebut insyaAllah,” katanya menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Sr Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada persidangan DUN Kelantan baru-baru ini.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu membuat keputusan menyebelahi kontraktor utama Lebuhraya Rakyat, Dae Hang Guru dalam samannya ke atas anak syarikat kerajaan negeri – Baldah.

Penamatan kontrak sepihak yang dibuat oleh kerajaan megeri melalui Baldah diputuskan oleh mahkamah sebagai melanggar kontrak atas ikatan yang sah dan telah termetrai.

Jumlah bayaran pampasan akan ditaksirkan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu kemudian.

 

BACA JUGA Tiada cadangan untuk pinda Akta Pembangunan Petroleum