Lau Weng San sedia dicalonkan pertahan kerusi DUN Banting
Ahli Dewan Undangan Negeri Banting Lau Weng San bersedia untuk dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka Julai ini.
Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor berkata pihaknya ingin terus berbakti kepada masyarakat yang diwakilinya sejak sepenggal lalu.
“Saya telah mengemukakan pendirian kepada pimpinan pusat DAP untuk kekal dicalonkan di DUN Banting bagi PRN akan datang.
“Saya telah memaklumkan mengenai perkara ini sejak setahun lalu dan jika diizinkan, saya akan bertanding lagi di kerusi DUN Banting,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Weng San, 45, berkata kesusahan rakyat merupakan perkara yang amat dekat di hatinya dan mahu memastikan pengundi yang setia menyokongnya sejak Pilihan Raya Umum ke-14 mendapat pembelaan sewajarnya.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata jentera DAP Selangor di semua peringkat telah lama digerakkan sebagai persediaan menghadapi PRN.
“Kita (DAP) telah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan dengan PRN. Cuma perlu menunggu pengesahan pencalonan sahaja,” katanya.
Weng San mula bertanding dalam PRU-12 dan menang kerusi DUN Kampung Tunku. Berbekal pengalaman satu penggal, beliau tidak berdepan masalah mempertahankan kerusi sama pada PRU-13.
Pada PRU-14 beliau bertukar kawasan dan mencatat kemenangan di DUN Banting dengan majoriti 17,299 apabila meraih 21,846 undi sekali gus menewaskan menewaskan calon BN dan Parti Rakyat Malaysia.
BACA JUGA: PRN: DAP berhati-hati, bukan pesimistik