Penjaja perlu berdaftar untuk bolehkan kerajaan bagi bantuan
Persatuan peniaga dan kumpulan seumpamanya harus mendapatkan penjaja di bawah pengurusan mereka untuk mendaftarkan perniagaan mereka bagi membolehkan bantuan diberikan oleh kerajaan, kata Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.
Katanya, dengan cara ini pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mempunyai pangkalan data peniaga yang tepat di majlis perbandaran mereka bagi memudahkan bantuan diberikan.
“Terdapat dua jenis peniaga di Selangor iaitu mereka yang berdaftar terus dengan pihak berkuasa tempatan dan mereka di bawah pengurusan persatuan.
“Ada di antara mereka di bawah pengurusan persatuan tidak berdaftar dengan PBT. Mereka harus didaftarkan supaya terdapat data yang lebih tepat mengenai butiran perniagaan mereka bagi membolehkan bantuan diberikan,” katanya memetik laporan BeritaKini.
Menurut Rodziah, kini semua PBT di Selangor mempunyai sistem pendaftaran dalam talian untuk peniaga dan perkara ini tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk mereka tidak mendaftar.
Beliau bercakap selepas menyaksikan penyerahan alat kod QR dan e-dompet yang ditaja untuk 62 peniaga menerusi kerjasama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Beez Fintech Sdn Bhd di Bangunan SSAAS, Shah Alam.
Dalam pada itu, seramai 22 peniaga akan membuka gerai di tapak Bazar Ramadan Hijrah Selangor di Seksyen 7 manakala 40 peniaga akan membuka kedai di Seksyen U3, Shah Alam.
Pengunjung bazar digalakkan menggunakan kaedah kod QR untuk pembayaran yang lebih pantas dan mudah. Di mana sistem kod QR menerima pembayaran daripada semua bank tempatan dan beberapa pembekal e-dompet.
Pada masa yang sama, Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga dan ahli parlimen Ampang berkata satu bazar Ramadan anjuran Hijrah Selangor turut diwujudkan bagi membantu peniaga yang tidak berpeluang untuk mendapatkan tapak perniagaan di Shah Alam, Selangor.
“Bazar Ramadan Hijrah Selangor menawarkan peluang kedua kepada peniaga ini untuk menjana pendapatan tahun ini, selepas mereka gagal membuat permohonan lot di bazar Ramadan kelolaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Peniaga ini kebetulan dibiayai oleh Hijrah melalui skim pembiayaan sedia ada. Apabila peluang Hijrah tiba untuk menganjurkan bazar Ramadan, kami menghubungi mereka untuk memohon lot dagangan,” ujarnya.
BACA JUGA: KPDN salur RM16,000 laksana peniaga, pengguna tanpa tunai