Mohamad Sabu umum berita baik di Perhimpunan Bulanan dan Ramah Mesra Aidilfitri KPKM

FOTO BERITA: Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Tahun 2025 bersama YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan D2, MAEPS, Serdang, Selangor. 28hb April 2025 (Isnin)

Majlis yang diadakan bersempena sambutan Aidilfitri ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga kementerian serta memperkukuhkan semangat kerjasama dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan berita baik buat rakyat Malaysia apabila had pembelian beras putih tempatan dilonggarkan. Dalam ucapan beliau semasa Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Beliau memaklumkan bahawa rakyat kini dibenarkan membeli lebih daripada dua kampit beras tempatan, dengan had maksimum lima kampit.

“Beras tempatan boleh dibeli lebih daripada dua kampit, tak lebih daripada lima kampit. Lebih tiga juta kampit kini berada dalam pasaran,” umum beliau di hadapan warga kementerian. Sebelum ini, pembelian beras tempatan dihadkan kepada hanya dua kampit seorang berikutan isu keberadaan beras putih tempatan yang menjadi antara cabaran utama kementerian.

Dalam masa yang sama, Datuk Seri Mohamad Sabu turut menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan. Beliau memetik dapatan daripada SWCorp yang menganggarkan sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dalam bulan Ramadan sahaja, meningkat antara 15 hingga 20 peratus berbanding bulan biasa.

“Pembaziran ini bukan sahaja memberi kesan ekonomi negatif, malah bertentangan dengan ajaran Islam,” tegas beliau. Beliau menyeru semua pihak untuk lebih berhemah dalam pengurusan makanan, selari dengan prinsip kesederhanaan dan menghargai rezeki yang dianugerahkan.

Majlis pada hari ini turut diserikan dengan jamuan Aidilfitri serta sesi ramah mesra antara Menteri dan warga KPKM, mencerminkan keakraban dan semangat kebersamaan dalam kementerian.

Majlis turut diserikan dengan dendangan lagu dari Datuk Jamal Abdillah dan Hetty Koes Endang. Pelbagai juadah makanan tersediakan di jamuan Aidilfitri, dan sesi ramah mesra antara YB Menteri dengan para pegawai dan kakitangan KPKM. Kehadiran yang memberangsangkan menunjukkan sambutan hangat daripada semua peringkat warga kementerian.

Program ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan tertinggi dan warga kerja, malah menjadi platform untuk memperbaharui tekad bersama dalam menghadapi cabaran sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan.NMaklia juga diserikan dengan pemberian duit raya kepada anak-anak yatim.