AMK Selangor sokong menyahjenayahkan kesalahan cubaan bunuh diri
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyokong cadangan untuk menyahjenayahkan cubaan bunuh diri dalam undang undang Malaysia.
Ketua Biro Undang-Undang AMK Selangor, Khairul Naim Rafidi berkata langkah yang diusahakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam memperhalusi peruntukan Seksyen 309 Kanun Keseksaan itu diharap dapat menangani masalah kesihatan yang mendorong kepada bunuh diri.
“Di Malaysia, cubaan membunuh diri merupakan satu jenayah dan individu yang melakukan perbuatan tersebut boleh dituduh di mahkamah serta dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
“Sejak penjajahan British di Tanah Melayu, mereka telah datang dan membawa bersama-sama undang-undang yang digelar sebagai undang-undang Inggeris (Common Law).
“Sejak abad ke-13, pihak British telah meletakkan bahawa seseorang yang cuba untuk membunuh diri boleh dihukum jika percubaan tersebut gagal,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, AMK Selangor beranggapan pengenaan hukuman berat kepada pesalah cubaan bunuh diri tidak lagi seiring dengan kemajuan zaman.
Khairul berkata, banyak kaedah pencegahan yang lebih efektif boleh dilaksanakan selain menghukum serta menganggap perbuatan tersebut suatu jenayah.
Tambahnya banyak negara telah memansuhkan hukuman kepada individu yang cuba membunuh diri termasuk Jerman yang paling awal menggugurkannya pada 1751, Perancis menuruti pada abad ke-18. Singapura biar pun lewat tetapi telah memansuhkan hukuman ke atas cubaan membunuh diri pada 1 Januari 2020.
“Sehubungan dengan itu, AMK Selangor melihat bahawa usaha menyahjenayahkan cubaan bunuh diri ini adalah suatu tindakan yang perlu memandangkan kes cubaan bunuh diri kian meningkat dari hari ke hari.
“Isu ini seharusnya dilihat sebagai satu isu kesihatan awam, diikuti dengan tindakan mengubah nilai budaya masyarakat terhadap perbuatan membunuh diri melalui kaedah perubatan, agama dan nilai-nilai yang baik.
“AMK Selangor turut berpandangan pendekatan yang paling tepat dalam menangani masalah keinginan membunuh diri adalah melalui kaedah klinikal. Adalah jelas bahawa sekiranya undang-undang sedia ada yang bersifat pencegahan (deterrence) telah wujud, tetapi kejadian ini masih berterusan berlaku, ini menunjukkan bahawa undang-undang tersebut tidak berjaya,” kata Khairul lagi.
Beliau yakin memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan di Malaysia adalah langkah yang tepat.
Katanya lagi, memansuhkan peruntukan tersebut bukan bermakna masyarakat menyokong tindakan membunuh diri, tetapi langkah yang lebih proaktif dan efektif akan dilaksanakan selari dengan zaman bagi membantu masyarakat.
BACA JUGA PH, BN Selangor sepakat kekal bertanding kerusi dimenangi PRU-14
Â