RM157,200 Lesap, Dua Mangsa Dakwa Diperdaya Syarikat Pelaburan Tidak Wujud

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiauhasa Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan Program Pelaburan Dobi yang tidak wujud di Pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 17hb Mei 2025 (Sabtu)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini mengadakan satu sidang media bagi menzahirkan sokongan kepada dua orang mangsa yang mendakwa telah diperdaya oleh sebuah syarikat tempatan yang menawarkan program pelaburan kiosk dobi layan diri yang disyaki tidak wujud.

MHO yang telah ditubuhkan sejak tahun 2016 merupakan sebuah organisasi yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia melalui pelbagai aktiviti kemanusiaan dan khidmat guaman. Dalam kes ini, MHO telah menerima dua aduan rasmi daripada mangsa-mangsa yang mendakwa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM157,200 akibat menyertai skim pelaburan dobi tersebut.

Menurut mangsa, syarikat terbabit telah menawarkan pelaburan dalam bentuk pemilikan kiosk dobi layan diri yang dijanjikan akan dipasang di lokasi strategik, dengan segala urusan penyelenggaraan dan pemasaran ditanggung oleh pihak syarikat. Lebih menarik, pelabur turut dijanjikan pulangan lumayan tanpa perlu terlibat secara langsung dalam pengurusan.

Namun, segala janji yang dibuat tidak ditunaikan oleh syarikat tersebut. Setelah pembayaran penuh dibuat, tiada pemasangan atau lokasi penempatan kiosk dilakukan, malah usaha mangsa untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat hanya dibalas dengan alasan-alasan yang tidak meyakinkan.

Mangsa-mangsa telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Salah seorang mangsa dimaklumkan bahawa aduannya telah dirujuk kepada laporan lain yang sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Namun begitu, laporan seorang lagi mangsa pula telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA), menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan.

MHO bersama mangsa hari ini menyeru agar pihak PDRM mempertimbangkan semula kes ini dan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap syarikat berkenaan. Mangsa-mangsa turut mempersoalkan kewujudan perjanjian yang dimeterai sebelum ini, yang mereka percaya hanya digunakan sebagai helah untuk mengelirukan pihak berkuasa dan menyamarkan penipuan yang berlaku.

MHO menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil agar pelabur lain tidak menjadi mangsa seterusnya kepada skim pelaburan yang mencurigakan seperti ini. Mereka juga berharap pihak berkuasa mengambil serius isu ini demi menjamin keadilan dan ketelusan dalam urusan pelaburan tempatan.