Dinamika peletakan jawatan menteri
OLEH ZULQARNAIN LUKMAN
Ada orang yang tidak berpuas hati apabila dinyatakan bahawa alasan yang diberikan oleh Rafizi Ramli apabila dia meletakkan jawatan itu adalah tidak berperlembagaan. Mereka menyatakan bahawa menjadi hak Rafizi untuk meletakkan jawatan.
Ya. Betul apabila dikatakan hak Rafizi sebagai menteri untuk meletakkan jawatan. Hal ini nyata dalam peruntukan Per. 43(5) Perlembagaan Persekutuan. Namun, apa yang dimaksudkan dalam tulisan sebelum ini adalah alasan yang digunakan itu tidak menepati prinsip perlembagaan berhubung dengan prinsip kabinet.
Meletakkan jawatan itu sendiri adalah berperlembagaan. Soalnya hanyalah mengenai alasan yang digunakan tersebut. Contohnya, jika seorang menteri meletakkan jawatan kerana sedih kucingnya mati beranak maka perletakan jawatan itu sah namun pasti orang persoalkan alasan yang digunakan tersebut.
Tulisan sebelum ini tidak membicarakan mengenai moral politik Rafizi. Sememangnya Rafizi telah menyebutkan dalam ceramah Hiruk bahawa jika dia kalah dia akan meletakkan jawatan kerana baginya tidak sayugia orang yang tidak ada jawatan dalam parti memegang jawatan.
Nah! Ini lah yang menjadi isu dan persoalan. Sama ada wajar atau tidak seorang yang tiada kedudukan dalam parti menjadi menteri.
Apabila naratif ini dibawa maka ianya bertentangan dengan prinsip kabinet. Seorang menteri dilantik atas kehendak Perdana Menteri. Seorang menteri juga boleh dipecat atas kehendak Perdana Menteri. Ini adalah prerogatif seorang Perdana Menteri.
Apabila orang itu dilantik oleh Perdana Menteri maka dia perlu terikat dengan prinsip ‘collective responsibility’ dan ‘ministerial responsibility’. Dia tidak boleh membuat sesuatu pandangan dan tindakan yang bertentangan dengan kehendak Perdana Menteri. Dia tidak boleh mengkritik tindakan kementerian lain secara terbuka kerana semua tindakan kementerian lain adalah dianggap sebagai ‘collective responsibility’.
Apabila Rafizi menyatakan bahawa inilah idealisme yang dia ingin bawa maka itu adalah hak dia untuk menyuarakannya. Namun, sesuatu idealisme itu biarlah berpaksi kepada prinsip kabinet yang sudah mendasari falsafah perundangan perlembagaan. Kita tidak mahu sesuatu idealisme itu dibawa tanpa asas yang kuat.
Kita tidak mahu berada dalam keadaan begini maka kita akan gunakan idealisme itu tetapi apabila kita tidak suka maka kita buang idealisme itu. Idealisme perlu mampan. Untuk menguji kemampanan idealisme mestilah ianya berasaskan kepada prinsip kabinet yang sudah mendasar.
Jika idealisme itu yang ingin dibawa maka apa pula posisi Saifudin Nasution. Saifudin Nasution tidak mempunyai apa-apa jawatan tinggi dalam PKR. Malah Saifudin sendiri tidak bertanding dalam pemilihan pimpinan tertinggi PKR baru-baru ini.
Idealisme ini juga akan membawa kepada pertanyaan lain. Bagaimanakah pula dengan jawatan Menteri Kewangan II dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama). Apakah kedudukan mereka di dalam parti?
Sebab itu, kedudukan Nurul Izzah Anwar selaku Timbalan Presiden PKR belum mewajarkan lagi posisinya untuk menjadi menteri. Namun, posisinya sebagai Timbalan Presiden mewajarkannya untuk membuat pengukuhan kepada ahli-ahli partinya.
Kita tidak mahu seorang itu merebut jawatan tertinggi dalam parti semata-mata kerana jawatan tertinggi itu menjamin kedudukannya sebagai menteri. Seorang menteri perlu mempunyai ciri-ciri lain yang lebih luas seperti berpandangan jauh, mampu mengolah naratif, mampu merancang, pandai membaca data dan lain-lain.
Mungkin orang masih terbawa-bawa dengan kedudukan UMNO pada satu masa dahulu ketika UMNO kuat. Dahulu dalam UMNO jika orang itu menduduki hierarki tertinggi dalam parti maka hampir menjadi jaminan untuk dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.
Hakikatnya masa telah berubah. Keadaan juga telah berubah. Kedudukan dalam parti belum menjadi jaminan jawatan menteri atau timbalan menteri khususnya dalam kerajaan yang bersifat perpaduan antara parti.
Pola pemikiran rakyat juga sudah berubah. Dahulu rakyat menerima konsep satu parti sahaja yang memerintah. Barangkali rakyat sekarang sudah rencam pemikirannya dan sudah boleh menerima kepelbagaian parti yang memerintah. Dalam suasana sekarang rakyat lebih memilih untuk melihat kompetensi dan merit seseorang menteri. Tiada guna memegang jawatan tertinggi dalam parti tetapi dungu dalam mentadbir dan memegang posisi kementerian.
Namun, ini tidak bermakna seseorang yang tidak berada dalam disiplin parti boleh dilantik menjadi menteri. Tidak dinafikan bahawa kedudukan dalam parti itu akan membantu seseorang menteri. Lihat sahaja semasa Muhyidin Yasin menjadi perdana menteri dan beliau mengangkat Ismail Sabri, Annuar Musa, Noraini Ahmad dan Shahidan Kasim sebagai menteri tanpa mengangkat orang nombor satu dan nombor dua dalam UMNO sebagai menteri.
Akhirnya berlaku pergolakan dan Muhyidin Yasin telah digulingkan oleh rakan parti yang sama-sama membentuk kerajaan tebuk atap bersamanya. Ini adalah hakikat yang perlu diterima iaitu dinamika dalam pemerintah. Namun, konsep perlembagaan berkaitan kabinet itu terus kekal tidak kira siapa yang memerintah.
Barangkali Musa Hitam lebih faham mengenai prinsip ‘collective responsibility’ ini. Semalam ada kawan yang memberikan surat Musa Hitam yang ditulis kepada Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO yang menjelaskan hal tersebut (sumber surat tersebut tidaklah pula diketahui. Jika ada yang mendakwa sumber itu daripada beliau boleh bagitahu supaya kredit dapat diberikan).
Dalam surat itu di mukasurat empat, Musa menyatakan,
“Sepanjang masa saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya mengaku memanglah ada beberapa dasar serta cara-cara perlaksanaan dasar atas nama Kerajaan pimpinan Saudara yang saya sendiri persoalkan. Tetapi, banyak daripadanya saya beritahu kepada Saudara sendiri dalam pertemuan-pertemuan yang begitu kerap kita adakan. Pada dasarnya, saya menerima hakikat bahawa Saudaralah PM dan lagi, prinsip tanggungjawab bersama atau ‘collective responsibility’ saya terima.”
Surat tersebut agak panjang namun apa yang ingin ditekan di sini adalah prinsip berada di dalam kabinet adalah para menteri mestilah sama-sama bertanggungjawab. Apabila menteri itu merasakan bahawa dia sudah tidak mampu lagi menanggung tanggungjawab bersama maka dia perlu berundur dan meletakkan jawatan.
Meletakkan jawatan atas dasar tidak mempunyai jawatan atau kalah bertanding itu bukanlah termasuk dalam maksud collective responsibility ini.
Satu perkara lain yang ingin dinyatakan adalah berkaitan penyataan PMX bahawa dia membenarkan Rafizi dan Nik Nazmi bercuti. Ini bermakna PMX belum lagi menerima perletakan jawatan Rafizi.
Ada kemungkinan PMX mungkin masih lagi berharap Rafizi ingin menarik balik surat perletakan jawatan tersebut. Ingin ditegaskan bahawa selagi PMX belum mengangkat sembah surat perletakan jawatan Rafizi itu kepada YDPA maka perletakan jawatan itu masih lagi belum rasmi.
Berhubung dengan komentar sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan Rafizi yang bercuti dan memberikan tempoh kuatkuasa surat perletakan jawatan itu adalah hak Rafizi. Oleh kerana tempoh percutian itu sudah diluluskan oleh PMX maka ianya tidak perlu disibukkan oleh oleh orang lain. Itu adalah termasuk dalam prerogatif PMX sebagai Perdana Menteri.
ZULQARNAIN LUQMAN ialah pengerusi KANUN AMANAH.