Kes berprofil tinggi paling panas yang masih disiasat SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat menyiasat beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan penyalahgunaan dana awam berjumlah ratusan juta ringgit, termasuk yang dikaitkan dengan tokoh politik dan individu berpengaruh negara.

Antara kes paling besar ialah skandal Dana Keluarga Malaysia dengan nilai dianggarkan RM700 juta.

Ia dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut infografik disediakan Islah, siasatan terhadap kes ini kini ditangguhkan buat sementara waktu atas faktor kesihatan pemimpin terbabit.

Satu lagi kes utama ialah penyelewengan dana sukuk projek lebuh raya bagi tempoh 2016–2020 dan 2024–2025, melibatkan RM143 juta daripada jumlah sukuk keseluruhan bernilai RM1.35 bilion.

Kes ini masih aktif dalam siasatan SPRM.

Kes penipuan dana insentif PERKESO 2023 pula melibatkan kerugian sebanyak RM10 juta dan dikaitkan dengan Muhammad Adlan, menantu kepada bekas Perdana Menteri ke-8.

Suspek utama didakwa telah melarikan diri ke luar negara sejurus siasatan dimulakan.

Turut berada dalam radar SPRM ialah kes penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi tempoh 2021–2023, dengan jumlah melibatkan RM84 juta.

Setakat ini, 33 kertas siasatan telah dibuka dan 22 individu telah ditahan.

Menurut kenyataan dari Islah yang turut mengulas perkembangan ini, kesemua pendedahan ini membuktikan betapa seriusnya ancaman rasuah terhadap pembangunan negara.

“Dana yang sepatutnya digunakan untuk bantu pembangunan negara, tingkatkan infrastruktur, dan jaga kebajikan rakyat akhirnya ‘ditelan’ oleh pihak tertentu.

“Bila duit ini hilang atau disalah guna, rakyatlah yang paling terkesan. Bantuan tak sampai, projek terbengkalai, dan hutang negara terus meningkat. Ini bukan sekadar isu salah guna kuasa, tapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat,” menurut Islah.

SPRM dijangka akan terus memberi tumpuan terhadap penyiasatan kes-kes rasuah berskala besar ini sebagai sebahagian daripada komitmen membanteras rasuah secara menyeluruh dan tanpa kompromi.