Anwar: Tuduhan kerajaan pusat tindas negeri adalah fitnah
Tuduhan bahawa kerajaan pusat menindas kerajaan negeri yang tidak menyokong Kerajaan Perpaduan adalah fitnah semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Meskipun tuduhan tersebut dibuat bertalu-talu terhadap dirinya, Kerajaan Perpaduan membantu dan memberi perhatian kepada semua negeri.
“Tuduhan tersebut tidak benar. Peruntukan (di bawah belanjawan) yang diberikan kepada negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah contohnya lebih banyak dari apa yang mereka terima dari pentadbiran kerajaan lalu selama tiga tahun.
“Kritikan dibenarkan dan saya sanggup membuat perubahaan setelah mendengar pandangan dan pendapat tetapi tuduhan palsu mesti dihentikan,” kata beliau ketika pembentangan RUU Perbekalan 2023 untuk kali kedua di Dewan Negara hari ini.
Anwar melahirkan kekesalan kerana tohmahan terhadap dirinya datang dari mereka yang digelar ulama dan pemimpin kanan parti tertentu.
“Mereka kata Menteri Kewangan menindas negeri dengan tidak memberikan peruntukan atau melewatkan atau mengurangkan peruntukan untuk mereka. Dakwaan ini tidak benar langsung… oleh itu ia menjadi tanggungjawab saya untuk menjawab dalam perkara ini.
“Saya tidak menyerang para ulama atau pemimpin parti. Saya hanya melawan tohmahan,” kata beliau.
Beliau turut menambah bahawa perbuatan membuat tohmahan, menyebarkan pembohongan dan maklumat palsu ialah sesuatu yang bertentangan dengan kebenaran dan amalan tadbir urus baik.
BACA JUGA: Anwar kembali ke sesi pertanyaan perdana menteri, jawab tiga soalan