Halatuju MySejahtera masih diteliti
Kontrak perolehan pengurusan aplikasi MySejahtera secara rundingan terus akan tamat pada 31 Mac 2023. Walau bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia masih meneliti cadangan hala tuju pengurusan aplikasi MySejahtera sebagai super apps kesihatan awam negara.
Pengurusan aplikasi ini ditandatangani bagi tempoh dua tahun sejak 1 April 2021.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberitahu Wong Chen (PH-Subang) dalam jawapan bertulis bahawa persetujuan berhubung pemilikan aplikasi MySejahtera telahpun dicapai dengan syarikat yang membangunkan aplikasi tersebut.
Antara perkara yang telah dipersetujui adalah seperti berikut:
a) kesemua modul di bawah aplikasi MySejahtera adalah milik kerajaan
b) hak milik aplikasi dan data MySejahtera yang meliputi hak harta intelek, kod sumber bagi modul-modul yang telah dibangunkan serta data, jenama dan logo ’MySejahtera’ adalah milik kerajaan
c) Kerajaan mempunyai hak penuh ke atas penggunaan platform MySejahtera melalui Lesen Platform Kekal tanpa sebarang kos walaupun kontrak tidak dilanjutkan atau sekiranya kerajaan membuat keputusan melantik pihak lain untuk menguruskan aplikasi MySejahtera
d) Kerajaan boleh meneruskan pembinaan modul-modul tambahan dengan menggunakan lesen ini bagi sebarang keperluan dari segi pendigitalan kesihatan awam tanpa sebarang sekatan.
BACA JUGA: Hala tuju MySejahtera dimuktamad selepas dibentang pada Jemaah Menteri