Arab Saudi hadiahkan 35 tan kurma, taja 15,000 rakyat Malaysia buka puasa

Hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi terserlah apabila negara tersebut memberikan sumbangan sebanyak 35 tan kurma dan 17,000 naskhah al-Quran sempena Ramadan.

Melalui program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, kerajaan Arab Saudi turut menyampaikan sumbangan tajaan majlis berbuka puasa nasi mandy ayam bagi 15,000 orang.

Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Kompleks Islam, Putrajaya hari ini.

Sumbangan itu diselaraskan oleh Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Mohd Na’im dan Dr Saleh Ali berdoa pada majlis perasmian program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud di Kompleks Islam, Putrajaya pada 30 Mac 2023. Foto FB Ketua Pengarah Jakim

Mohd Na’im berkata Malaysia amat bertuah kerana sentiasa mendapat ruang dan dipilih oleh kerajaan Arab Saudi untuk pelaksanaan program sumbangan tersebut.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan sentiasa mendoakan agar baginda sentiasa diberikan kesihatan berpanjangan serta keberkatan daripada Allah SWT,” katanya dalam ucapan perasmian program itu.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Pejabat Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi di Luar Negara Syaikh Abdul Wahab Abdullah Al-Qahtani yang juga Pemangku Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd. Yusoff.

Mohd Na’im berkata hubungan Malaysia dan Arab terjalin dengan kuat dan ia dibina atas dasar qurani.

Katanya hubungan yang erat tersebut juga terserlah sebelum ini apabila Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah telah melawat negara ini pada Februari lalu dalam usaha mengetahui lebih lanjut tentang persediaan jemaah dan operasi haji Malaysia bagi musim ini.

“Sumbangan hari ini sudah tentu memberikan kekuatan dari segi hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi. Semoga dengan program sumbangan ini akan dapat membantu golongan asnaf dan orang miskin yang memerlukan bantuan.

“Kita ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dan bersama-sama mendoakan pihak penyumbang akan mendapat rahmah dan keberkatan daripada Allah sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Saleh Ali berkata sumbangan tersebut bukan sahaja diberikan kepada rakyat Malaysia malah turut diagihkan kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih kerana membantu menjayakan program di bawah Penjaga Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud membabitkan sumbangan kurma, agihan naskhah al-Quran dan majlis iftar.

“Kami harap sumbangan ini akan mendapatkan taufik dan keberkatan berpanjangan,” katanya.

BACA JUGA: Kursus haji TH tarik perhatian menteri Arab Saudi

Â