Tiada cadangan gubal undang-undang pelihara perpaduan
Kerajaan tidak bercadang untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu untuk memelihara perpaduan di Malaysia memandangkan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk memelihara dan memperkasakan perpaduan kaum di negara ini, kata Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.
“Kementerian ini berpendapat tidak ada keperluan untuk menggubal atau mengenakan satu undang-undang baharu pada masa ini dan memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Walaubagaimanapun jika keadaan terdesak dan kerajaan memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula untuk pindaan bagi mengekang elemen permusuhan antara kaum dan agama, maka kementerian ini akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya sama ada pihak kementerian akan memperkenalkan undang-undang membendung elemen permusuhan antara kaum dan agama.
Menurut menteri, antara akta yang masih berkuat kuasa ialah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengawal kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Selain itu, Kanun Keseksaan membolehkan seseorang dihukum atas kesabitan jenayah dengan tujuh seksyen yang berkaitan dengan perpaduan kaum dan keagamaan juga masih berkuatkuasa.
Sebelum ini terdapat cadangan dari beberapa pihak untuk mewujudkan rang undang-undang hubungan kaum.
Mantan menteri agama Datuk Dr Mujahid Yusof pernah menganggotai jawatankuasa untuk meneliti perkara ini.
BACA JUGA: Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama
Â