Petugas perubatan kontrak bakal diserap ke jawatan tetap tanpa pencen
Petugas perubatan berstatus kontrak akan diserap ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.
“Kita sedar beban kerajaan berdepan dengan skim berpencen iaitu pada 2011 nilainya adalah sebanyak RM3.1 bilion dan kemudiannya meningkat kepada RM29.1 bilion pada 2021, ini merupakan beban yang sangat tinggi dan mungkin akan terus meningkat.
“Jadi kita memikirkan jalan keluarnya adalah dengan mengusulkan untuk mengambil pekerja kontrak secara tetap tetapi tanpa pencen, namun mereka ini boleh mendapat manfaat yang sama seperti pekerja tetap yang lain antaranya boleh membuat pinjaman perumahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Jefridin Atan yang ingin tahu sama ada Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk menambah jawatan doktor kontrak bagi mengatasi masalah bebanan kerja petugas kesihatan.
Dalam hal berkaitan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, masalah doktor kontrak di bawah KKM akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa tahun ini.
Menurutnya, masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama, justeru kerajaan sedia ada tidak boleh dibebankan untuk menyelesaikannya dalam tempoh setahun.
Pada November 2021, KKM memaklumkan, seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika itu, sudah dinilai dan diperakui untuk lantikan tetap oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,586 membabitkan lantikan pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta pegawai farmasi.
BACA JUGA Ketika pemimpin Pas perlekeh, doktor akui Menu Rahmah sihat dan seimbang