Padah hantar mesej ‘x’ kepada remaja, CEO Batu didakwa kes amang seksual bukan fizikal esok

Seorang pempengaruh dikenali sebagai ‘CEO Batu’ akan didakwa di dua mahkamah berasingan minggu ini atas dua pertuduhan membabitkan kes amang seksual bukan fizikal dan penyimpanan bahan lucah.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, lelaki itu akan didakwa di Mahkamah Ampang esok, mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Pertuduhan kedua pula dijadualkan pada Jumaat ini di Mahkamah Selayang, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana disyaki menyimpan gambar lucah dalam telefon bimbit,” katanya, dipetik BH.

Nama ‘CEO Batu’ menarik perhatian ramai selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice mendedahkan beberapa kiriman mesej didakwa dihantar suspek kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Dilaporkan, ibu mangsa turut mengadu kepada Caprice bahawa CEO Batu menganggu anaknya menerusi mesej berunsur seksual serta gambar tidak senonoh.

Tangkap layar yang tersebar memaparkan mesej bersama imej dipercayai dihantar suspek kepada mangsa, kononnya bagi menunjukkan kesan parut pembedahan.

Susulan itu, polis menahan reman suspek terbabit selepas ibu mangsa membuat laporan.

BACA JUGA Isu MAHB: Menteri Kewangan II dipanggil esok